Wednesday, February 06, 2008

Pengalaman Tanah Suci 2007













Saya telah ke tanah suci dari 30 November 2007 hingga 18 January 2008. Selama sebulan di Makkah dan 18 hari di Madinah. Selain bertugas sebagai rombongan perubatan, saya juga dapat mengerjakan rukun Islam ke lima. Rasa penat bertugas dapat diubati dengan kesyukuran kerana dapat menunaikan ibadat haji yang menjadi impian setiap muslim yang beriman.

Penerbangan kami dari KLIA ke Lapangan terbang Jeddah memakan masa lebih kurang 8 jam, dengan berpakaian ihram. Masa yang lama dalam kapal boleh diisi dengan menonton video (bagi yang duduk di business class-MAS).

Kami tiba di Jeddah, pada waktu tengah malam waktu tempatan. Saya melalui pemeriksaan pasport dengan agak cepat, sebab ada seorang makcik yang semput (susah bernafas) dan perlu rawatan dengan segera di klinik Malaysia di lapangan terbang Jeddah. Keadaan makcik itu semakin baik setelah diberi rawatan nebuliser.

Kami menaiki coster ke Klinik Malaysia Syisyah. Sepanjang perjalan tiada pemandangan yang dapat dilihat, hanya kegelapan malam sahaja meliputi.






Mengerjakan umrah pada jam 6 pagi hingga 9 pagi. Oleh kerana pertama kali, agak teruja juga ingin melihat kaabah dihadapan mata. Selesai tawaf 7 kali, solat sunat, minum air zam-zam dan terus kerjakan sa'ei. Terpisah dengan rakan yang lain, terpaksa buat sendiri-sendiri. Selesai di Marwah dan tahalul dengan menggunting rambut. Leganya dah bebas dari ihram, bolehlah pakai pakaian biasa..

Saya bertugas di Maktab 99, hotel Savilla Barakath, antara hotel yang paling sibuk dengan jemaah. Saya bertugas di Klinik TH dan juga di Unit Kecemasan yang beroperasi 24 jam. Bertugas di sini tiada istilah hari sabtu atau ahad, kena bertugas tiap hari. Hatipun kena 'steady' sebab pesakit akan datang tidak mengira masa. Malampun mesti bertugas jika ada kes. Bagi saya, ini sudah lumrah kerana saya berpengalaman bertugas lebih 10 tahun di Unit Kecemasan. Cuma bezanya, disini saya lupa hari-hari yang berlalu, sebab tiada istilah 'hari rehat'. Kepada para petugas, hendaklah sanggup menghadapi situasi yang penuh cabaran ini.







Minggu pertama kerja, saya dah 'sore throat', kena minum banyak air dan makan ubat. Alhamdulillah, demam cuma satu hari, masih boleh berkhidmat kepada para jemaah. Kebanyakan jemaah mengalami URTI (demam selsema) dan 'dehydration'. Ramai pesakit yang terpaksa di pasang drip. Penyakit yang paling sukar nak sembuh ialah 'batuk', walaupun dah berbotol ubat diminum tetapi ramai jemaah mengadu tak ada perubahan langsung, seorang diktor berkata batuk ini hanya akan sembuh setelah sampai di Malaysia, dan ini terbukti benar kerana sayapun mengalami masalah yang sama.







Merujuk dan mengiringi pesakit dengan ambulan yang serba kekurangan ke hospital Syisya dan Aziziah adalah antara tugas kami. Kasihan melihat jemaah yang uzur dan berpenyakit, ada yang datang dengan kerusi roda dan ada yang terpaksa merangkak turun dari bas. Terharu melihatnya, mereka sanggup bersusah payah semata-mata untuk menyahut seruan dari Ilahi. Ada diantaranya yang terkial-kial dikerusi roda kerana datang tak ditemani saudara terdekat, cuma mengharapkan janji kawan semasa di tanah air. Saya terjumpa seorang makcik yang mengatakan ia datang sendiri dengan ditemani kawan, makcik ini seorang yang agak uzur dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Kawan makcik ini telah berjanji akan menemaninya semasa di Tanah Suci, tapi setibanya di Hotel, ia telah ditinggalkan seorang diri.




Arafah.


























Kini tiba masanya kami ke Arafah.



Kami sebagai petugas perubatan akan menaiki bas yang terakhir ke Arafah. Semasa menunggu giliran, kami masih menjalankan tugas merawat pesakit yang memerlukan perkhidmatan. Dua kali saya mengiringi pesakit ke Klinik Syisa dan Aziziah. Hampir terlepas giliran ke Arafah, saya hanya berdoa sahaja semoga tidak ketinggalan.



Rombongan kami agak lewat tiba di Arafah. Lebih kurang jam 12 malam. Seronok juga suasana pagi di arafah...Dingin dan pemandangan indah, dihiasi dengan pandangan bukit batu.

Nak ambil air panas pun kena berbaris. Begitu juga bila nak ke bilik termenung, kena ikut giliran. Makanpun ala kadar sahaja.. menyesal tak bawa makanan ringan.

Bertolak ke Muzdalifah selepas maghrib, singgah mengutip batu.. Nasib baik dapat bas pada tengah malam. Tiba di Mina sebelah pagi. Tidur sekejap sebelum pergi melontar. Suasana di Mina lebih selesa, setiap khemah ada penghawa dingin, tapi masih berlantaikan pasir. Tikar dan bag galas menjadi bantal. Kalau tiba awal di Mina, lebih baik mandi dulu sebelum ramai jemaah yang akan tiba.

Seawal pagi saya dan dua orang rakan pergi melontar. Perjalanan agak jauh, lebih kurang 20 minit perjalanan. Kepenatan tidaklah terasa sangat sebab rasa 'enjoy' pergi melontar, cuma kalau first time, jangan sampai sesat.. pastikan tidak ditinggalkan kawan atau hafallah mana-mana mercu tanda yang ada..


Sekitar perkhemahan di Mina, ramai penjaja menjual cenderakenangan.. 'Made in China'.
Suasana dingin menusuk ke tulang pada hari-hari terakhir di Mina. Sejukknnyaa...