Jumaat, 08 Mei 2009 | 13 Jamadilawal 1430
www.bharian.com.my
Lubuk virus
Oleh Nurul Adlina Kamaludin, Rohaniza Idris dan Hafizah
Iszahanid
bminggu@bharian.com.my
Imej imbasan pelancong yang dirakam mesin pengesan suhu
badan di lapangan terbang antarabangsa yang menjadi pintu
masuk utama.
Selesema babi dijangka cetuskan semula wabak yang berlaku
pada 1918, 1957 dan 1968 serta menyebabkan jutaan penduduk
dunia mati
TEMPOH lebih seminggu lalu mencatat titik hitam sejarah
peradaban manusia moden yang biarpun dikelilingi pelbagai
peralatan serba canggih tetapi terpaksa akur dengan ancaman
virus 'ganas' haiwan dan terbaru, selesema babi.
Ketika dunia terus bergelut dengan ancaman selesema burung
yang belum berkesudahan, kemunculan semula wabak yang pernah
menggemparkan Amerika Syarikat pada 1976, dikesan seawal 13
April lalu di Mexico, jiran terdekatnya.
Dalam tempoh itu, lebih 1,000 kes dilaporkan di sekurang-
kurangnya sembilan negara dengan lebih 100 kematian setakat
ini.
Selesema babi atau jenis baru virus H1N1 yang menggabungkan
genetik babi, manusia dan burung bukan setakat mendatangkan
gejala seperti demam dan dijangkiti menerusi sentuhan
langsung dengan babi selain tersebar dari manusia kepada
manusia, namun boleh menyebabkan maut.
Berbanding haiwan lain, babi diketahui sebagai 'lubuk'
pengeraman virus influenza dan boleh dijangkiti lebih
daripada satu virus daripada spesies berbeza. Bahayanya,
virus utama membabitkan babi sukar dikenal pasti kerana
sistem imun atau daya tahan tubuhnya yang menyebabkan
jangkitan serius dan mudah tersebar.
Pekerja di Los Angeles membawa sepanduk menggesa kerajaan
memberi perlindungan keluarga berikutan penularan wabak
selesema babi.
Apa yang membimbangkan, selesema babi bukan sekadar wabak
bermusim, tetapi diramalkan pakar sebagai pandemik atau
wabak besar-besaran di seluruh dunia.
Buktinya, kematian ramai di Mexico, negara pertama dan
disyaki 'pusat' penularan wabak itu dan seterusnya merebak
ke negara termasuk yang berstatus negara maju seperti
Amerika Syarikat, Jerman, Britain, Kanada, New Zealand,
Israel dan Sepanyol.
Ancamannya itu memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
menaikkan aras amaran ke tahap lima, Khamis lalu - cuma satu
aras di belakang tahap teratas amaran pandemik, sekali gus
memberi isyarat jelas bahawa selesema babi itu mungkin
melarat kepada pandemik.
"Semua aspek kemanusiaan bakal terancam ketika berlaku
pandemik," kata Pengarah WHO, Margaret Chan di Geneva.
Kenyataannya berserta langkah sewajarnya yang diambil
kerajaan di hampir semua negara dunia bagi mengatasi
penularan penyakit, mencetuskan persoalan mungkinkah
selesema babi ini bakal melenyapkan manusia.
Apakah benar andaian ini? Apakah ia mampu mencetuskan wabak
selesema di seluruh dunia seperti pernah berlaku pada 1918,
1957 dan 1968 yang turut dicetuskan haiwan? Pada 1918
misalnya, pandemik Selesema Sepanyol meragut lebih 50 juta
nyawa yang disifatkan kes terburuk dalam era sejarah moden.
Kira-kira 39 tahun kemudian atau 1957, wabak Selesema Asia
meragut empat juta nyawa hasil jangkitan daripada itik liar
di selatan China yang menular ke Singapura, Hong Kong dan
Amerika pada tahun sama. Sebelas tahun kemudian, wabak
Selesema Hong Kong meragut lebih sejuta nyawa.
Jika dilihat, pandemik yang berasal dari perkataan Greek
'pan' merujuk semua dan 'demos' atau rakyat, diukur
berdasarkan bilangan mereka yang terjejas serta fakta ia
boleh menjangkiti mereka yang sihat, selain kumpulan
berisiko seperti warga tua.
Andaian kemungkinan selesema babi mampu melenyapkan manusia
dilontarkan seorang pakar wabak selesema global yang
terkenal dari Universiti Minnesota, Amerika, Michael
Osterholm.
Kebimbangannya itu disuarakan menerusi kenyataan yang
dipetik kebanyakan media utama dunia: "Apa yang sukar
sekarang ialah kita mungkin berdepan krisis kesihatan paling
buruk atau mungkin sekadar akan berakhir dalam tempoh
beberapa minggu akan datang dan tidak muncul-muncul lagi.
"Atau ia mungkin menjadi permulaan kepada pandemik influenza
yang amat dahsyat. Buat masa ini, kita tidak mengetahui
kedudukan sebenar. Inilah yang menjadi masalahnya."
Jika dilihat, wabak selesema babi bukannya baru. Ia pernah
muncul pada 1976 di New Jersey, Amerika Syarikat apabila 500
askar disahkan menghidapnya. Program pembasmian diarahkan,
tetapi akhirnya dihentikan selepas vaksin yang diberikan
sebaliknya meninggalkan kesan sampingan yang jauh lebih
buruk dan membahayakan daripada ancaman selesema babi.
Kini, 33 tahun kemudian, ia muncul lagi dengan profil
mangsanya termasuk anak kecil dan warga tua. Kemunculannya
itu turut menjadikan sekurang-kurangnya tiga pandemik
meletus dalam tempoh seabad lalu dan menular dalam tempoh
beberapa bulan ke sebahagian besar dunia.
Tidak hairanlah, kemunculan terbaru selesema babi ini
disifatkan pakar WHO sebagai tidak boleh dielak dan ketara.
Malah menurut WHO, pandemik itu boleh muncul menerusi
beberapa kitaran pada jarak beberapa bulan.
Kemunculan selesema babi itu turut meletakkannya sebaris
ancaman selesema burung, Sindrom Pernafasan Yang Teruk
(Sars) dan Ebola. Selesema burung misalnya, biarpun muncul
pada 1997, tetapi terus mengancam manusia yang bersentuhan
atau terdedah kepada ayam serta unggas dijangkiti virus
H5N1. Setakat ini, ia meragut 257 nyawa dengan 421 orang
dijangkiti di 14 negara.
Sars pula yang menyebabkan sindrom pernafasan yang boleh
membawa maut, mencetuskan panik apabila mula dikesan pada
2002 dan menular ke 37 negara dengan 774 kematian daripada
8,000 kes. Ia kemudian 'senyap' dan tiada satu pun kes
dicatatkan pada 2005.
Ebola pula yang menyebabkan pendarahan dalaman dan luaran
yang serius, dikatakan pakar boleh tersebar menerusi udara
tetapi kes jangkitan itu setakat ini menerusi cecair.
Banyak kerja sebenarnya yang perlu dibuat andai selesema
babi ini menular kepada wabak besar-besaran termasuk
melaksanakan kuarantin mandatori, pemberian ubat dan sekatan
perjalanan keluar masuk menerusi pintu sempadan negara yang
sudah pasti mencetuskan panik.
Apa yang pasti, setakat ini, selesema babi masih dalam
lingkungan menyaingi ancaman Sars, selesema burung dan
Ebola. Hanya masa menentukan sama ada ia setanding pandemik
Selesema Sepanyol, Selesema Asia dan Hong Kong biarpun ramai
yang berharap biarlah ia menjadi ancaman sementara.
INFO: Tahap Amaran Pandemik Selesema Babi
Tahap 1 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan
tidak menjangkiti manusia.
Tahap 2 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan
menjangkiti manusia.
Tahap 3 - Tiada penularan atau penularan virus selesema yang
terhad antara manusia ke manusia tetapi tidak menyebabkan
wabak dalam komuniti.
Tahap 4 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia
kepada manusia serta boleh menyebabkan wabak di kalangan
komuniti.
Tahap 5 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia
kepada manusia di sekurang-kurangnya dua negara dalam satu
rantau WHO dan memberi `isyarat kuat' bahawa pandemik pasti
berlaku.
Tahap 6 - Fasa pandemik yang menunjukkan wabak menular ke
seluruh dunia.
Sejarah pandemik demam selesema
Wabak Peloponnesian - 30,000 maut
Seramai 30,000 penduduk Athens mati pada 430 Sebelum Masihi
ketika peperangan Peloponnesia antara penduduk Athens dengan
Sparta. Selain pening, gejala lain seperti ruam kulit,
demam, batuk darah, sakit perut, muntah dan dahaga yang
teruk hinggakan ada yang terjun ke dalam perigi.
Wabak Antonine Plague - Lima juta mati
Wabak sempena nama Maharaja Rom, Marcus Aurelius Antoninus
yang mati pada 180 Selepas Masihi. Wabak ini dibawa ke Rom
oleh tentera yang pulang daripada berperang dari
Mesopotamia. Ia merebak ke benua kecil Asia, Mesir, Greek
dan seluruh empayar Rom dan meragut lima juta nyawa dalam
masa 15 tahun.
Wabak Justinian Plague ? Kira-kira 25 juta hingga 100 juta
kematian
Namanya sempena Maharaja Byzantine, Justinian dan wabak ini
dipercayai berasal sama ada di wilayah Asia Tengah atau
Ethiopia (Habsyah). Ia menjadi kes pertama wabak bubonik
dicatatkan dan berlaku selama 50 tahun yang meragut 25 juta
hingga 100 juta nyawa. Perdagangan dunia turut lumpuh.
Wabak 'Black Death' - 25 juta kematian
Ia melanda pada zaman pertengahan Eropah dari akhir 1347
hinggalah awal 1351. Ia dikatakan disebarkan oleh kutu dan
tikus. Mangsa lazimnya mati dalam kesakitan dalam masa lima
hari selepas dijangkiti kuman itu.
Wabak Selesema Sepanyol - Lebih 50 juta kematian
Ia berlaku pada 1918 dan menjadi kes terburuk pernah berlaku
dalam era sejarah moden dan disebabkan sejenis virus
selesema H1N1 dijangkiti kira-kira 40 peratus jumlah
penduduk dunia ketika itu. Ia meragut lebih 50 juta
kematian, majoritinya mereka golongan muda.
Wabak Selesema Asia - Empat juta maut
Berlaku pada 1957, membabitkan itik liar di Guizhou, selatan
China dan melalui proses mutasi dengan jenis virus manusia.
Menular ke Singapura pada Februari 1957, Hong Kong pada
April dan Amerika Syarikat pada Jun tahun sama. Jangkitan
paling ramai di kalangan pelajar sekolah, golongan muda,
wanita hamil serta orang tua yang mencatatkan kumpulan
paling ramai mati.
Wabak Selesema Hong Kong - Sejuta maut
Dikesan pada 1968, kes pertama dikesan di Hong Kong yang
disebabkan jenis virus dikenali H3N2 yang meragut sejuta
nyawa di seluruh dunia. Ia kembali pada pada 1970 dan 1972.
Mangsa berusia 65 tahun ke atas paling ramai mati.
Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) - 800 kematian
Dikesan di Guangdong, selatan China pada 2002 tetapi menjadi
tumpuan ramai pada Februari 2003 selepas kematian seorang
ahli perniagaan Amerika Syarikat dalam pesawat pulang dari
Shanghai. Virusnya mudah tersebar secara pantas ke Kanada,
Amerika dan beberapa negara Asia. Daripada 8,096 kes, 774
kematian dilaporkan.
Selesema Burung
Ada banyak jenis selesema burung. Jenis paling bahaya H5 dan
H7 sering menyebabkan kematian unggas dan jenis yang paling
dibimbangkan adalah H5N1. Ia hanya diketahui menyerang
unggas sehinggalah kes pertama jangkitan manusia dikesan di
Hong Kong pada 1997. Data WHO menunjukkan 256 maut di
seluruh dunia sejak 2003 dan saintis turut memantau
perkembangannya kerana bimbang mutasi berlaku dan boleh
dijangkiti berjuta-juta penduduk dunia.
Demam Selesema - Meragut 250,000 - 500,000 kematian setiap
tahun
Tersebar ke seluruh dunia setiap tahun dan memuncak ketika
musim sejuk. Pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan pemberian
suntikan vaksin, khususnya kepada kanak-kanak dan warga tua.
Amalan kerap membasuh tangan dan sentiasa sihat, menjadi
perlindungan terbaik.
Hak Cipta Terpelihara 2009 - Berita Harian Sdn. Bhd.