MENGHADIAHKAN PAHALA BACAAN KEPADA SI MATI
Jika dipertimbangkan mengikut logika akal, amalan membaca fatihah atau membaca ayat-ayat al-Quran kemudian menghadiahkan pahala bacaannya kepada si Mati (arwah), tentulah tidak ada salahnya, malah ia menggambarkan suatu perbuatan yang baik, bagus dan mulia. Begitu juga dengan membaca al-Quran dengan mengadakan kenduri arwah, tahlilan atau yasinan beramai-ramai atau berseorangan, sama ada yang dikhususkan di malam-malam tertentu, di hari-hari tertentu, di bulan-bulan tertentu atau di tempat-tempat tertentu seperti di atas kubur dan sebagainya, pastinya sekali pandang perbuatan ini adalah baik, malah menggambarkan pekerjaan terpuji kerana antara tujuannya ialah untuk menghapuskan dosa seseorang (roh orang mati) di samping mengirim pahala yang dibaca oleh orang yang ramai kepada si mati untuk mengurangkan penderitaannya. Namun, apabila dikembalikan kepada syara ia adalah perbuatan bid’ah yang mungkar.
Ada antara mereka (terutama pengemar kenduri arwah, yasinan, tahlilan dan selamatan) berhujjahkan hadis berikut untuk membolehkan membaca surah Yasin sama ada untuk menghapuskan dosa si Mati atau mengirim pahala bacaan tersebut kepada si Mati:
مَنْ زَارَ قَبْرَ وَالِدَيْهِ اَوْ اَحَدِهِمَا يَوْمَ الْجُمْعَةِ فَقَرَاَ يَس ، غُفِرَ لَهُ .
“Barangsiapa yang menziarahi kubur orang tuanya atau salah seorang dari keduanya pada hari Jumaat, kemudian membacakan surah Yasin, maka akan diampunkan dosanya".
Hadis di atas ini adalah hadis batil, palsu atau tidak ada asal usulnya. Terdapat di dalam sanadnya seorang yang bernama 'Amar yang dikenali sebagai pemalsu hadis dan banyak meriwayatkan hadis-hadis yang batil. Imam Daraqutni rahimahullah berkata tentang 'Amar: "Amar adalah seorang pemalsu hadis". 4 [1]
Terdapat beberapa ulama yang sezaman dengan Imam Syafie yang telah mengharamkan kenduri arwah, salah seorang dari mereka ialah sahabat Imam Syafie bernama Imam Muzanirahimahullah, beliau menolak pendapat mereka yang membolehkan kenduri arwah, malah beliau telah menfatwakan tentang pengharaman mengirim (menghadiahkan) pahala dari bacaan al-Quran untuk menyelamatkan orang mati sebagaimana yang diamalkan dalam majlis kenduri arwah, beliau berkata:
فَاَعْلَمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ مَا اَعْلَمَ اللهُ مِنْ اَنَّ جِنَايَةَ كُلِّ امْرِئٍ عَلَيْهِ كَمَا اَنَّ عَمَلُهُ لَهُ لاَ لِغَيْرِهِ وَلاَ عَلَيْهِ.
"Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi tahu sebagaimana Allah memberi tahu: Bahawa dosa tiap-tiap orang adalah buat kecelakaan dirinya sendiri sebagaimana amalannya itu buat kebaikan dirinya sendiri bukan untuk kecelakaan orang lain".5 [1]
Terdapat juga segolongan mereka yang berhujjahkan fatwa Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyahrahimahullah yang pernah membolehkan perbuatan mereka yang menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang yang telah mati, tetapi pada kenyataannya Syeikhul Islam Ibn Taimiyah telah ruju’ (menarik balik dan membatalkan fatwa beliau), yang mana beliau telah menegaskan:
“Bahawa bukan menjadi suatu kebiasaan bagi para Salaf as-Soleh apabila mereka mengerjakan solat-solat sunnah, berpuasa, haji dan membaca al-Quran lalu pahalanya dihadiahkan kepada orang yang telah mati”
Penarikan semula Syeikhul Islam Ibn Taimiyah terhadap fatwa beliau yang pada asalnya membolehkan (menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si Mati) kemudian mengharamkannya, ianya boleh ditemui di dalam kitab Ali Abdul al-Kafi as-Subki “Takmilatul Majmu” - شرح مهذب تكملة المجموع jld. 10 hlm. 417.
Di dalam kitab(الخازن الجمل) juz. 4 hlm. 236 dan di dalam kitab “Syarah Muslim” juz 1 hlm. 90. Imam an-Nawawi rahimahullah telah menjelaskan pendapat Imam as-Syafie tentang perbuatan yang diamalkan dalam majlis kenduri arwah iaitu pengiriman pahala kepada orang mati. Beliau berkata:
وَاَمَّا قِرَاءَ ةُ الْقُرْآنِ فَالْمَشْهُوْرُ مِنْ مَذْهَبِ الشَّافِعِى اَنَّهُ لاَ تَصِلُ ثَوَابُهَا اِلَى الْمَيِّتِ.
“Adapun bacaan al-Quran maka yang masyhur dikalangan mazhab Syafie bahawa tidak sampai pahala bacaan yang dikirim kepada orang yang telah mati”.
Sekali lagi Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan dalam kitab السبكي - تكملة المجموع ، شرح مهذب juz 10 hlm. 426 bahawa:
وَاَمَّا قِرَاءَ ةُ الْقُرْآنِ وَجَعَلَ ثَوَابَهَا لِلْمَيِّتِ وَالصَّلاَةُ عَنْهُ وَنَحْوَهَا فَذَهَبَ الشَّافِعِي وَالجُمْهُوْرُ اَنَّهَا لاَ تَلْحَقُ الْمَيِّتَ ، وَكَرَّرَ ذَلِكَ فِى عِدَّةِ مَوَاضِعِ فِى شَرْحِ مُسْلِمِ.
“Adapun pembacaan al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada orang mati, membayar solatnya dan sebagainya, maka menurut Imam Syafie dan jumhur ulama Syafie adalah tidak sampai kepada si Mati. Penjelasan seperti ini telah diulang-ulang (oleh Imam Muslim) dalam kitab syarah Muslim”.
Di dalam kitab الفتاوى الكبرى الفقهية Syeikh al-Haitami rahimahullah juga telah menjelaskan:
اَلْمَيِّتُ لاَيُقْرَاُ عَلَى مَااَطْلَقَهُ الْمُتَقَدِّمُوْنَ مِنْ اَنَّ الْقِرَاءَ ةَ لاَ تصِلُهُ اَي الْمَيِّتَ لاَنَّ ثَوَابَهَا لِلْقَارِئ وَالثَّوَابُ عَلَى عَمَلِ لاَيُنْقَلُ عَنْ عَامِلِ ذَلِكَ الْعَمَلِ ، قَالَ تَعَالَى {وَاَنْ لَيْسَ للاِنْسَانِ اِلاَّ مَاسَعَى}.
“Mayat tidak boleh dibacakan al-Quran sebagaimana keterangan yang ditetapkan oleh orang-orang terdahulu, bahawa bacaan al-Quran pahalanya tidak sampai kepada si Mati, lantaran pahala bacaan hanya untuk si Pembaca. Pahala amalan pula tidak boleh dipindah-pindahkan dari si Pembuat berdasarkan firman Allah Ta’ala: Dan manusia tidak memperolehi pahala kecuali dari amalan yang dikerjakannya sendiri”.
Ada yang berpendapat bahawa ayat 39 di surah an-Najm ini telah dan dimansuhkan oleh ayat 21 di surah ath-Thur. Imam Syaukani rahimahullah menolak pendapat ini dan beliau berkata:
Adapun makna dari ayat: (Seseorang tidak akan mendapat melainkan atas usahanya sendiri). Lafaz dalam ayat ini termasuk umum yang mukhasas, oleh itu tidak tepat kalau ada yang berkata bahawa ayat ini telah dimansuhkan dalam urusan ini, kerana yang khas tidak boleh memansuhkan lafaz umum, tetapi hanya sebagai takhsisnya sahaja. Maka apabila ada dalil lain yang boleh menentukan bahawa seseorang memperolehi manfaat dari amal orang lain, maka dalil itu sebagai takhsisnya bukan sebagai nasikh serperti ayat yang terdapat di surah ath-Thur: (Kami akan hubungkan dengan mereka itu anak cucu mereka)”.
Namun apabila dibuka secara ilmiyah ruang agama untuk membincangkan, mengkaji dan meneliti semula amalan yang diperkatakan di atas, terbukti ia terlalu bertentangan dengan syara, malah termasuk dalam amalan atau perbuatan yang ditegah, diharamkan dan bid'ah. Benarnya kenyataan ini dapat dibuktikan apabila kita memahami kesemua hujjah-hujjah dan dalil-dalil syara yang dikemukakan oleh para ulama dari kalangan mazhab Syafie.
Walaupun ada pendapat yang menyangka bahawa persoalan kenduri arwah, yasinan, tahlilan dan selamatan ini tidak perlu diungkit dan dibangkitkan lagi kerana (kononnya) ia telah lama diselesaikan oleh para ulama, namun perlu diketahui bahawa yang telah diselesaikan oleh para ulama terutamanya Imam Syafie dan para ulama yang bermazhab Syafie ialah tentang pengharaman dan bid’ahnya amalan tersebut bukan sebaliknya. Pembuktian kenyataan ini dapat difahami dan dibuktikan melalui beberapa fatwa Imam Syafie dan para ulama as-Syafieyah sebagaimana yang telah di nukil di dalam tulisan ini.
No comments:
Post a Comment