Tuesday, November 23, 2010

Jampi Perangai

Jampi Perangai



Disiarkan pada Feb 15, 2009 dalam kategori Akidah |

Soalan: Ibu saya ada mengambil air jampi dari seorang ustaz untuk
diminum oleh ayah yang mempunyai perangai yang buruk. Ustaz itu
menyuruh dicampurkan air tersebut dalam minuman ayah tanpa
disedarinya. Apakah hal ini diajar oleh Islam?

Jawapan: Tidak dinafikan baginda Nabi s.a.w pernah menjampi penyakit
seperti mana baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang
lain. Ini disebut dalam hadis-hadis yang sahih.
Namun dakwaan bahawa dengan air atau kismis atau apa bahan-bahan jampi
orang yang tidak pintar pun boleh dipintarkan, suami atau anak yang
tidak baik perangainya boleh dipulihkan, ini sudah luar biasa lagi
mengatasi Nabi s.a.w. sendiri.

Baginda tidak menjampi kaum Quraish agar beriman, bahkan bapa
saudaranya yang dekat dan dikasihi iaitu Abu Talib pun meninggal dalam
keadaan kufur tanpa dijampinya. Kalau dengan menjampi manusia boleh
berubah sikap, pasti Nabi s.a.w akan menjampi telaga zam-zam kerana
itu sumber air Quraish ketika itu. Pasti Quraish akan berubah apabila
terminum.
Hal ini tidak berlaku dalam sirah baginda. Kalau benar ada orang boleh
menjampi sehingga mengubah sikap manusia kepada baik, atau
mencerdikkan manusia maka eloklah kita mengupahnya menjampi
empangan-empangan air di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan
cerdik.

Ketahuilah sesungguhnya jalan untuk manusia mendapat hidayah adalah
dakwah yang benar, keikhlasan hati penerimanya dan keizinan Allah
s.w.t.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 256-257(maksudnya): “Tidak
ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata
kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak
percayakan taghut, dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia
telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak
akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha
mengetahui. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang
yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan kepada
cahaya (iman). dan orang-orang yang engkar, penolong-penolong mereka
ialah taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada
kegelapan-kegelapan. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di
dalamnya”.

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

http://drmaza.com/himpunan_fatwa/?p=23

No comments: