Friday, January 28, 2011

Ulasan Latihan ESQ oleh Ust Zaharuddin

Ulasan, Komentar & Cadangan Berkenaan

Kursus Latihan ESQ 165
Dicatat dari hasil pengalaman :
Ust Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/













PENDAHULUAN



Semua komentar di bawah adalah dibuat setelah saya mengikuti sendiri kursus ESQ 165 pada tanggal 1 hingga 3 Mei 2009 bertempat di PWTC. Kursus berkenaan dikendalikan oleh Regional Trainer, Bapak Aminul Rahman Pulungan dan beberapa orang pembantu moderator yang lain.



Bagi memastikan seluruh komentar, dan kefahaman saya tentang isi ESQ adalah tepat dengan apa yang ingin disampaikan oleh trainer ESQ, demi menjaga keadilan dan keseimbangan dalam teguran dan nasihat, seluruh komentar dan ulasan saya dalam artikel ini dihasilkan setelah semua proses di bawah berlaku:-



Perbincangan sebelum kursus : dengan Trainer utama ESQ di Malaysia, iaitu Pak Aminul Rahman Pulungan, ketika beliau hadir ke rumah saya pada 30 April 2009 (sebelum kursus). Pertemuan ini berlangsung sekitar 3 jam, namun banyak komentar saya reserved kerana masih belum menghadiri kursus pada ketika itu. Apapun, hasil pertemuan ini, saya diberikan mandat eksklusif oleh Pak Aminul untuk memberikan sebarang komentar dan teguran sepanjang kursus pada esok harinya.Input Semasa Kursus : Majoriti komentar di bawah adalah input-input dari catatan pengalaman dan pemerhatian selama tiga hari kursus tersebut.Perbincangan Semasa Kursus : Penerangan lanjut khas oleh trainer utama pada setiap waktu rehat sepanjang kursus tiga hari. Semua perbincangan dibuat dengan trainer Pak Aminul yang mengendalikan kursus 3 hari tersebut, dan satu sesi perbincangan turut disertai oleh motivator Dr Rubiah K. Hamzah.Perbincangan Selepas Kursus : Penerangan dan perbincangan lanjut oleh trainer Pak Arief (Trainer berlesen ESQ) dan En Radzif (Pengarah ESQ Malaysia) yang datang ke rumah saya pada malam 6 Mei 2009, mereka hadir beserta dengan seluruh slide kursus. Perbincangan berjalan selama hampir 3 jam. Dalam perbincangan ini, pihak ESQ menjelaskan bahawa semua input saya akan dikongsi dan diubah serta sebahagiannya telah disampaikan kepada semua trainer ESQ yang lain.Penjelasan Terakhir Di Airport KLIA : Pada tanggal 7 Mei 09, jam 8.00 pagi, bagi melengkapkan perbincangan, trainer utama Pak Aminul Rahman bertemu saya sekali lagi di airport KLIA sebelum saya berlepas ke London, Perbincangan sekitar 35 minit. Gambar : Saya (terpaksa pakai songkok untuk rakaman astro oasis secara live pada malam tersebut- slot berkaitan solat), bersama Pak Aminul Rahman, Par Arief, En Ahmad Yani (baju hitam) dan abang saya (berkopiah).







Sepanjang komentar-komentar saya diberikan kepada pihak ESQ dari semua slot di atas, pihak mereka dilihat menerima dengan amat positif dan bersedia melakukan sebarang perubahan. Malah sebahagian teguran saya semasa dan sebelum kursus telah pun diambil tindakan oleh pihak ESQ.



Pak Dr Ary Ginanjar juga, walaupun tidak berada di Malaysia, telah bercakap dengan saya melalui telefon bimbit Pak Aminul Rahman sebanyak 2 kali. Malah semua input saya sebelum dan semasa kursus turut disampaikan kepada Pak Ary Ginanjar oleh trainer ESQ dan juga En Ahmad Yani dari Karangkraf.



Oleh kerana kursus yang saya ikuti dan perhatikan ini sudah dibincangkan dengan saya, sebelum dan sewaktu kursus berjalan, sebahagian kandungannya yang kontroversi telah berjaya diubah. Namun sebahagian yang lain, tidak sempat diubah.



Walaupun begitu, ini menyebabkan sebahagian besar komentar-komentar berkaitan ESQ yang pernah saya baca melalui internet dan yang dihantar oleh pelbagai pihak sebelum saya pulang ke Malaysia, sudah ternyata TIDAK LAGI BERLAKU.



Namun demikian, saya tidak dapat menolak kemungkinan jika masih terdapat perbezaan di antara kursus yang saya perhatikan ini dengan kursus ESQ di tempat lain, khususnya di negara lain, serta dikendalikan oleh kumpulan trainer yang lain di luar Malaysia.



Justeru, komentar dan ulasan saya ini mungkin sebahagiannya boleh terpakai untuk seluruh kursus dan model ESQ, manakala kemungkinan sebahagian lain berbeza menurut pembawaan dan penerangan trainer semasa program.



Saya juga mengakui bahawa semua komentar di bawah, majoritinya adalah hasil catatan cepat semasa program dan sebahagian yang lain hasil dari input sebelum dan selepas kursus. Namun begitu, disebabkan TIADA bahan bercetak yang boleh diberikan kepada saya dan semua peserta lain, semua komentar di bawah terhad kepada inti slide dan pembentangan trainer sahaja. Malah saya juga tidak sempat untuk meneliti satu persatu slide yang dibentangkan oleh ESQ trainer samada dalam bentuk soft copy atau hard copy untuk membolehkan saya menyemak dengan lebih efektif. Namun begitu, sebahagian kecil slide kursus, dapat saya teliti kembali ketika rombongan ESQ hadir bertemu saya di rumah, selepas kursus.



Dengan ini, saya berharap dan saya yakin, seluruh penilaian dan komentar saya yang akan anda baca telah meraikan kedua-dua pihak, iaitu pihak pengkritik dan pihak ESQ. Saya yakin saya sudah dapat memahami maksud sebenar dari setiap point yang dikemukan dalam slide dan pembentngan oleh pihak ESQ dan saya juga telah meneliti sebahagian besar kritikan terhadap kursus ESQ ini yang kebanyakannya sudah outdated, sebahagian lainnya pula hasil salah faham dan sebahagian lain masih valid tetapi tidak diperincikan bagi membolehkan ESQ memperbaikinya.



Perlu diingat, semua ulasan dan komentar saya bersifat independence di dibuat atas dasar ilmiah, saya BUKAN Syariah Adviser ESQ dan penulisan saya tidak dipengaruhi arah tujunya oleh pihak ESQ semasa menulis artikel ini. Justeru, anda akan melihat ulasan yang telus inshaAllah, jauh dari sebarang emosi menyokong atau menolak ESQ.



SEBELUM ITU PERLU FAHAMI..ALIRAN SATU DAN DUA.



Sebelum saya mengulas, terlebih dahulu ingin saya nyatakan secara umum, kalaupun kandungan kursus ESQ tidak mempunyai sebarang kesilapan dari sudut Aqidah yang jelas, seluruh kursus ESQ ini AKAN TETAP DITOLAK oleh individu dan kumpulan yang mengikuti manhaj SALAF.



Ini kerana mereka TIDAK menerima konsep keharusan ijtihad dalam bab ibadah khusus (ta'abuddi) sama ada cara atau pendekatan tambahan, malah berzikir menggunakan biji tasbih turut tidak diterima oleh majoriti individu dari aliran ini, apatah lagi sebuah majlis seperti ESQ yang menggunakan pendekatan zikir yang lebih jauh dan pelbagai dari biji tasbih. Kesimpulannya, mana-mana individu yang kukuh dan utuh berpegang kepada aliran pendapat sebegini (khususnya dari kalangan yang dianggap ekstrem, keras serta tegas), kursus ESQ sememangnya TIDAK SESUAI atau boleh dikatakan sekitar 60 % pendekatan dan inti kursus akan diputuskan tidak menepati Syariah jika dinilai dari neraca dan pertimbangan aliran yang digelar salafi.



Pembaca tidak perlu merasa marah atau pelik dengan keadaan itu, ini adalah kerana mereka mempunyai pandangan tersendiri dalam hal ibadah khusus dan teknik pelaksanaannya, malah kebanyakkan pegangan dan pendapat mereka sudah dari awal tidak selari dengan pendekatan dan majoriti kandungan kursus ESQ, justeru terlalu banyak dari pendekatan ESQ yang akan secara automatis tergolong dalam rekaan bentuk dan pendekatan baru bagi ibadah khusus, seperti zikir dalam suasana baru, teknik baru, tafsiran dan huraian baru dan macam-macam lagi.





Namun begitu, menurut pengamatan saya. Aliran Salaf di Malaysia boleh dibahagikan secara umumnya kepada tiga jenis, Pertama : Yang ekstrem lagi keras dan tegas. Kedua : Yang Sederhana (moderate), Ketiga : Yang lebih lembut dan toleran (Mild). Penolakan total ESQ yang saya maksudkan di atas pastinya dari kumpulan jenis pertama, manakala Salafi dari kumpulan kedua dan ketiga, banyak bergantung kepada perincian, perubahan dan perbincangan. Ada yang menolak dan ada yang boleh menerima. Justeru, bukan semua salafi akan menolak ESQ secara total.



Kesannya, perbincangan samada pendekatan dan kandungan kursus ESQ benar atau salah, tepat atau seleweng, hanya relevan bagi individu dan kumpulan yang berpegang kepada manhaj KHALAF, ahli takwil dan kumpulan sufi. Ini merupakan pegangan majoriti ahli agama dan awam di Malaysia.



Namun demikian, tidak ramai orang awam yang faham tentang kewujudan dua aliran kefahaman utama di kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Cuma jangan dipelikkan kerana ia perkara biasa malah turut wujud dengan luasnya di seluruh dunia umat Islam.



Menyedari hal itu, komentar dan ulasan saya, dibuat dalam konteks kumpulan kedua yang BIASANYA lebih meraikan ijtihad-ijtihad baru dalam kaedah ibadah khusus dan umum. Kerana sebagaimana dikatakan tadi, jika dinilai dari perspektif individu aliran pertama, kursus ini akan ditolak mentah-mentah.



Oleh itu, bagi membuka sedikit ruang perbincangan dan pandangan, saya cuba berfikir seperti individu dari aliran kedua. Sama ada saya tergolong dalam kumpulan kedua atu tidak, ia bukan perkara pokok, saya hanya menulis atas sifat saya sebagai ahli akademik dan cuba melihat dari perspektif kumpulan kedua sahaja, berusaha memberikan sedikit pandangan berkenaan perincian kursus ESQ ini.













Gambar : saya bersama dua orang ATS di ESQ angkatan 31 di PWTC. (Gambar Ihsan )





BEBERAPA ISU ASAS



Berikut adalah ulasan dan komentar saya berkaitan pelatihan ESQ 165, level executive basic training.



1) God Spot



Ringkasnya, god spot merujuk kepada satu saraf di otak manusia yang dikatakan berfungsi dan bertindakbalas terhadap aspek agama dan ketuhanan. Lalu nama ‘God Spot' dijadikan istilah yang digunakan oleh ESQ di dalam modelnya bagi melambangkan elemen spiritual intelligence.

















Ulasan saya :



Saya telah membaca amat ringkas kajian para saintis berkanaan hal ini, hanya melalui ulasan di Majalah-i dan juga bertanya kepada trainer yang mengendalikan.



Saya tidak berhasrat untuk melihat mendalam kebenaran kajian sains itu, kerana apa yang pasti ia tidak semestinya tepat, khususnya percubaan mengukur ‘satu kehendak kepada agama' bukanlah satu perkara yang boleh diukur dengan alatan kerana ia adalah satu hasrat, hasrat bukannya berbentuk, seperti niat. Berbeza dengan perasaan takut yang boleh diuji melalui degupan jantung, nadi dan memek wajah, namun saya masih ragu dengan kemampuan kita untuk mengira dan menjumlahkan (quantify) perkara yang tidak boleh dijumlahkan, iaitu "suatu keingin kepada agama dan tuhan".

Para pengkaji dan terdapat penyokong God Spot mengatakan, ia keinginan itu dikira dengan menjalankan eksperimen terhadap beberapa orang yang kena sawan dan paderi dan alim ulama, lalu sebaik sahaja mereka memikirkan berkenaan Tuhan dan Kegamaan, satu saraf di satu bahagian otak mereka menjadi mengembang. Lalu saraf ini dinamakan God Spot.

Saya tidak membaca lanjut huraiannya tapi jika hanya kembangan saraf dijadikan rujukan dan disebut-sebut sebagai bukti. Ia amat-amat lemah dan sangat subjektif.

Persoalan juga muncul apabila dikatakan manusia telah Allah sediakan saraf ini untuk menghampiri agama. Saya terfikir, agaknya adakah jika saraf ini tercedera manusia dan ia masih hidup, maka ia akan hilang kehendak kepada agama hanya kerana saraf ini terpukul atau cedera? Wallahu'alam.

Tidak mengapalah, namun ini bukannya persoalan tepat atau tidak ketepatan kajian sains itu, ia bukan argument saya yang utama. Cumanya, AMAT RUGI untuk ESQ menjadikan istilah GOD SPOT sebagai istilah pilihan untuk diletakkan di dalam model ESQ 165, kerana ia adalah sebab berikut :-

Istilah itu sendiri mendorong salah faham, khususnya apabila ia diterjemahkan menjadi : "TITIK TUHAN". Apa yang tergambar dari istilah ‘Titik Tuhan'? Pastinya ada yang akan memahaminya bahawa disitu letaknya tuhan dalam diri diri anda. Atau tuhan berada di otak manusia, Atau mungkin akan wujud yang mengatakan, istilah itu memberi indikasi bahawa tuhan mempunyai tempat tertentu.Saya faham, ini semuanya adalah kefahaman dan andaian salah berkenaan isu God Spot, namun anda tidak dapat mengelak orang ramai yang tersilap faham, ia berpunca dari nama yang tidak betul. Boleh sahaja saraf itu dinamakan dengan nama lain seperti ‘Good Spot' ( dengan dua huruf ‘o') atau saraf naluri agar hilang kontroversinya,Tidak ada keperluan untuk kita mempertahankan istilah God Spot, yang direka cipta oleh individu bukan Islam yang langsung tiada senstiviti hukum Islam. Tiada juga keperluan untuk diletakkan di dalam model utama ESQ. Istilah itu God spot seolah perkara utama dan asas dalam model pembangunan diri dan kepimpinan ESQ. Padahal inti kandungan kursus ESQ adalah merujuk kepada Islam, Iman dan Ihsan atau pengabdian kepada Allah.Cadangan saya kepada pihak ESQ



Nama GOD SPOT yang berada di dalam model PERLU diubah kepada nama lain.







Hasil dari itu, adalah terlebih baik jika pihak ESQ boleh terus mengubah penggunaan istilah ‘God Spot' dalam model utamanya kepada istilah yang lebih tepat berdasarkan pandangan Islam, seperti ‘Fitrah' atau apa jua yang seertinya.





Kehendak manusia kepada ketuhanan adalah fitrah, sama ada dibuktikan dengan kewujudan saraf God Spot

atau tidak, ia telah wujud berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis antaranya :



فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Ertinya : Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ( Ar-Rum : 30)



Juga hadis Nabi :-



كل مولود يولد على الفطرة

Ertinya : Setiap yang lahir itu, dilhairkan dengan keadaan Fitrah ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)



Fitrah mempunyai pelbagai takrifan dikalangan ulama berdasarkan konteksnya, namun dalam konteks ini ia ditakrifkan oleh para ulama sebagai :-



هي ما فطر الله عليه الخلق من المعرفة به

Ertinya : iaitu Fitrah yang disediakan oleh kepada makhluknya untuk mengenaliNya (tuhannya) (Lisan al-Arab, 5/56 ; Khasois al-Islam, Al-Qaradawi, hlm 39; rujukan tambahan Tafsir Al-Qurtubi, 24/23)





Justeru, sewajarnya pihak ESQ menjadikan penemuan saraf God Spot sebagai PERKARA SAMPINGAN SAHAJA, sama sebagaimana penemuan saintifik kewujudan Teori Big Bang, Cat's Eye Nebular, pergerakan gunung dan lain-lain yang digunakan oleh ESQ dalam kursusnya untuk MENYOKONG KEBENARAN AL-QURAN. Bukankah ini lebih tepat, berbanding menjadikannya seolah-olah suatu ASAS sehingga diletakkan di dalam rangka asas Model ESQ 165.Islam sudah lama menyebut berkenaan wujud diri manusia satu keinginan dan keperluan kepada Allah swt. Penemuan saintis itu hanyalah bukti TAMBAHAN sahaja kepada kebenaran Islam, tiada lebih dari itu. Khususnya bagi mereka yang memerlukan kajian Saintifik bagi meyakini Islam.









2) Suara Hati dan Asmaul Husna





Sering diulang-ulang bahawa suara hati adalah satu seruan dari hati ke arah kebaikan yang juga merupakan core value, nilai murni sejagat, inner voice dan lainnya.





Ia juga dikaitkan dengan sifat-sifat yang diambil daripada asmaul husna. Inilah yang dijadikan panduan untuk suara hati.





Ulasan saya :





Adakah Asmaul Husna tepat lagi sesuai untuk dijadikan sebagai rujukan utama Suara Hati ?





Bagi saya, Asmaul husna sahaja tidak cukup dan ia juga tidak memberikan satu petunjuk komprehensif kepada manusia untuk bertindak dan beramal di atas muka bumi. Ini adalah kerana :-





Asmaul Husna bersumberkan kepada Al-Quran, justeru mesti dikembalikan suara hati bukan sekadar kepada Asmaul Husna tetapi kepada sumber asasnya iaitu Al-Quran dan penghurai kepada Al-Quran iaitu Al-HadithESQ menggambarkan Asmaul Husna perlu diterjemahkan ke dalam diri, dengan mengaplikasikan sifat-sifat dan nama-nama Allah yang mengandungi nilai-nilai sejagat. Namun demikian, pelaksanaan nilai-nilai sejagat dari nama Allah ini TIDAK semuanya boleh diaplikasikan oleh manusia, hanya sifat dan nama Allah yang diarahkan di dalam Al-Quran dan hadis sahaja mesti dijadikan oleh manusia sebagai panduannya. Memang benar Allah swt bersifat dengan sifat Ar-Rahman (maha pemurah), nescaya kita inginkan diri kita untuk bersifat dengan sifat dari nama tersebut, lalu kita turut berusaha menjadi pemurah. Namun begitu, model dan slide ESQ tidak menjelaskan dengan jelas lagi terperinci bahawa terdapat nama-nama Allah dan sifatNya yang khas bagiNya, tidak dapat diikuti oleh manusia. contoh seperti Al-Mudhil ( yang menyesatkan), Al-Muhyi (menghidupkan), Al-Mumit (Mematikan), Ar-Raqib (maha mengintip), Malikul Mulki (raja kepada segala raja) dan banyak lagi. Kesilapan akan berlaku apabila peserta ESQ menyangka perlu mengaplikasikan semua asmaul husna sebagai sumber suara hati, lalu bagaimanakah cara mereka ingin mengamalkan nama-nama yang saya sebutkan sebagai contoh tadi.? Kewajiban mengaitkan asmaul husna dengan Al-Quran dan al-Hadis juga adalah kerana sememangnya sifat dan nama Allah swt adalah al-Adl (yang maha adil), kita turut dituntut untuk bersifat adil, namun apabila kefahaman ‘adil' ia tidak dipagari oleh kefahaman yang jelas, satu penyelewengan akan berlaku, berkemungkinan akan terdapat golongan sekular yang menganggap penyamarataan pembahagian pusaka adalah ‘adil', kebebasan homoseksual adalah adil, kebebasan murtad adalah adil dan lain-lain, tatkala itu pendidikan ESQ untuk menuruti sifat Adil Allah akan hancur jika ia tidak diikat dengan takrif adil yang dinyatakan dari sumber Al-Quran dan al-Hadis.

Cadangan saya kepada ESQ:



Mesti ditambah di dalam takrif suara hati khususnya di dalam slide, bukan hanya disebut di dalam ulasan trainer, kerana ulasan boleh berubah-ubah mengikut citarasa trainer. Perlu diingatkan bahawa suara hati adalah satu suara yang mengajak kepada kebaikan, nilai sejagat, diciptakan oleh Allah swt yang bersumberkan dan diperincikan di dalam Al-Quran dan Al-Hadith.Jangan terhenti hanya kepada rujukan asmaul husna tetapi mesti dinyatakan dengan terang, bahawa ia sumber penuh dan terperinci SUARA HATI dari Al-Quran dan As-Sunnah.Mesti difahamkan fungsi nama-nama Allah yang bersifat khusus untukNya. Seperti al-mutakabbir dan lain-lain yang disebutkan di atas.MESTI DIFAHAMKAN beberapa sifat lain yang yang juga tidak boleh ditiru oleh manusia seperti Al-Bashir (maha melihat). Apa yang perlu adalah bahawa nilai sejagat dari sifat al-Bashir bukan sahaja oleh manusia dalam bentuk dan tafsiran pelabagi, tetapi yang lebih PENTING adalah semua manusia memahami bahawa Allah swt maha melihat kamu di mana dan perbuatan kamu zahir dan batin. Namun setakat hadirnya saya dalam kursus ESQ selama tiga hari, penekanan kepada hal ini kurang dihighlightkan kerana model ESQ cuba mengenengahkan Asmaul Husna di dalam sifat-sifat manusia pilihan, menonjolkan asmaul husna dalam sifat-sifat CEO idaman. Namun terlupa MENENEKAN atau kurang ditonjolkan bagaimana sifat dan nama Allah itu juga perlu difahami dalam konteks Allah swt yang maha melihat dan mengawasi CEO dalam tugasan mereka, pemimpin dan lainnya.

3) Sekitar Tafsiran Asmaul Husna



Terdapat juga beberapa tafsiran sifat-sifat Allah yang kelihatan dibuat sewenang-wenangnya. SAYA DAPATI ADAKALANYA terdapat beberapa tafsiran kurang tepat digunakan di dalam slide kerana ingin mengadaptasi nama-nama Allah yang mulia ini dalam kehidupan dan akhlak manusia. Namun, percubaan menyerapkan Asmaul Husna dalam erti-erti bendera Jalur Gemilang kelihatan mudah tersasar dari landasan tafsiran yang betul. Selain itu, tafsiran nama dan sifat Allah swt terlalu dilihat mudah diperkembang tanpa dasar dari Al-Quran dan Al-Hadis, hal ini perlu diawasi dengan teliti. Seperti menafsirkan nama Al-Kareem dengan menghormati pemimpin melayu, atau Al-Muqsit dengan tafsiran penyesuaian diri dengan kemajuan zaman dan lainnya. Sewajarnya, semau tafsiran mesti berpandu kepada nas lain dari Al-Quran dan Al-Hadis. Namun demikian, saya ada merujuk dengan ringkas buku Asmaul Husna karangan Pak Ary Ginanjar dan mendapati sememangnya banyak tafsiran yang boleh menimbulkan salah faham. Namun demikian, buku tersebut telah ditarik semula dan tidak pula diedarkan di dalam kursus ESQ terkini. Pihak ESQ menarik balik semua buku yang telah dicetak untuk editing dan pembetulan. Justeru, sebarang pertikaian dari buku, adalah tidak lagi relevan untuk kritikan.Terdapat juga kurang tepat dan tidak konsisten dalam penterjemahan nama-nama yang terdapat dalam Asmaul Husna. Semua penterjemahannya dan penafsirannya perlu diambil kira dengan teliti.

Cadangan Saya Kepada ESQ :







Tidak cuba mengaitkan tafsiran jalur Gemilang dengan Asmaul Husna, tetapi cukup dikeluarkan nilai-nilai yang baik dalam setiap tafsiran jalur gemilang, dan disokong oleh suara hati (berdasarkan model ESQ) yang dirujuk kepada Al-Quran dan al-Hadis. Merujuk semua tafsiran yang akan digunakan dengan ahli majlis Syariah ESQ yang akan dilantik, sebelum digunakan.



4) Tafsiran baru Iman ihsan dan Islam



Saya tidak merujuk kepada sebarang bahan bertulis ESQ kerana ia TIDAK LAGI diedarkan. saya hanya merujuk kepada sepintas lalu dari slide yang ditayangkan dan penerangan para trainer.



Setakat pengamatan saya, tiada tafsiran baru kepada ihsan, iman dan Islam yang diberikan. Pihak ESQ masih lagi merujuk takrifan asal, cuma model ESQ 165 mereka mengambil rangka umum dari rukun tersebut. Dari situ, ia diamati melalui logika minda untuk menghasilkan satu model pembangunan diri dan kepimpinan. Ia bukan tafsiran baru, tetapi adalah proses modeling sahaja. Anda perlu memhamai apakah proses modeling dalam dunia akademik untuk memahami maksud saya.



Justeru itu, ESQ165 dinamakan sebuah model. Ia adalah satu istilah akademik yang merujuk kepada satu teori moden hasil gabungan hypothesis dan analisa. Sama seperti percubaan beberapa ahli akademik lain yang cuba memperkenalkan model penyucian diri melalui konsep virtue oleh Imam Ghazali contohnya. Ia bukan tafsiran baru yang menolak tafsiran asal, ia hanyalah satu bentuk model logika minda yang menyandarkan kepada asas ihsan, iman dan Islam. Demikian juga beberapa orang pensyarah UTM pernah mengemukakan model kaunseling Islam berdasarkan konsep amar makruf nahi mungkar. Ia hanya model yang diceduk dari konsep asas amar makruf nahi mungkar, ia bukan sesuatu tafsiran baru, tidak pula sesuatu yang komprehensif mewakili seluruh sumber asas Islam.



Oleh itu, saya tidak nampak ia adalah sebuah isu usul atau asas sehingga boleh dijatuhkan sesat dan menyeleweng.



Cadangan saya kepada ESQ :



Bagi mengelakkan dari kesilapfahaman ini, pihak ESQ MESTILAH menghighlight terlebih dahulu TAFSIRAN asal bagi ihsan, iman dan Islam sebelum membawa peserta untuk mengerti model mereka.



Apa yang ada tatkala ini, pihak ESQ hanya menyertakan tafsiran asal di hujung kursus, itupun dalam bentuk yang kurang menyerlah. Ini menjadikan peserta kurang tumpuan dan gagal mendapat maksud sebenar.



Hasilnya, saya melihat dakwaan ini tidak tepat dan kekurangan masih boleh dipinda dan diperbetulkan dengan panduan dari ilmuan Shariah yang diyakini.



5) Proses Pencarian Kebenaran oleh Nabi-nabi



Berkenaan hal ‘pencarian' para nabi melalui pencarian dan pengalaman, tidak dapat menangkap sebarang kesilapan berlaku dalam tafsiran pihak ESQ semasa kursus. Namun setelah mendapat penerangan semula oleh trainer Pak Arief di rumah selepas kursus, baru saya dapat melihat berlaku sedikit silap faham dalam memahami nas kisah Nabi Musa dan Nabi Ibrahim a.s.



Cadangan Saya kepada ESQ :



Memperbetulkan kelonggaran tafsiran dalam ayat surah al-An'am : 76-78, berkenaan bintang, bulan dan matahari yang disangka tuhan tetapi sebenarnya bukan. Fakta yang sebenarnya, bukanlah Nabi Ibrahim a.s yang sedang mencari-cari kebenaran ketuhanan lalu menyangka bintang, bulan, dan matahari yang sebagai tuhan itu, tetapi ayat tersebut sebenarnya merujuk kepada kepercayaan bapa dan kaum nabi Ibrahim a.s , teks ayat al-Quran itu pula merujuk kepada bagaimana kaedah debat dan dakwah Nabi Ibrahim sebenarnya. Kerana ayat itu dimulakan dengan konteks berikut :-



وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لأَبِيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آلِهَةً إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ

"Dan (ingatlah) di waktu Ibrahim berkata kepada bapaknya Azar: ""Pantaskah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata ( Al-an'am : 75 )"



Demikian juga kisah nabi Musa yang dikatakan mencari-cari sehingga meminta dari Allah swt apabila menghighlightkan kata-kata Nabi Musa yang meminta Allah menunjukkan dirinya :



قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ

" Wahai tuhanku tunjukkanlah dirimu, sehingga aku dapat melihatmu". ( Al-A'raf : 143)



Konteks kefahaman terhadap ayat ini juga terdapat kesilapan kerana kata-kata Nabi Musa itu bukanlah dalam suasana Nabi Musa masih belum menemui kebenaran, tetapi ia adalah dalam konteks,



وَلَمَّا جَاء مُوسَى لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ

"Dan tatkala Musa a.s datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Allah telah berfirman (secara langsung) kepadanya (tetapi tidak kelihatan) ( Al-A'raf : 143 )

Nabi Musa telahpun mendapati kebenaran malah telah dilantik pun sebagai Nabi dan Rasul di ketika ayat itu dilafazkan olehnya. Ia jelas apabila Musa a.s dipanggil oleh Allah swt untuk bertemu di tempat yang ditentukan dan kemudiannya Allah berkata-kata kepada Musa dan Nabi Musa memohon Allah swt untuk menunjukkan dirinya.



Saya kira, jika pihak ESQ membuat sedikit editing dalam slide dan skrip trainer dalam bab ini, inshaAllah tiada lagi masalah berbangkit berkaitan dengannya. Wallahu'alam.





ISU-ISU LAIN SEPANJANG PROGRAM SELAMA TIGA HARI



1) Sesi doa dan keinsafan



Pihak esq mengatakan sesi ini disediakan bagi para peserta yang sedang insaf dan berdoa untuk bersama-sama mendapat manfaat, justeru sebahagian peserta yang sedang bermunajat dan berdoa sambil menangis atau tidak, ingin berkongsi rasa dan doa serta diaminkan oleh peserta lain.



Majlis ini tidak ubah seperti slot zikir para ahli tarekat dan waktu fana' kecuali ia disertai oleh TIGA orang peserta bukan Islam. Sebahagian peserta ada yang menjerit Allahu akbar dengan kuat, menangis dengan kuat dan lainnya. Ini berlaku apabila di provoke oleh trainer untuk menyedari kesalahan-kesalahannya yang silam dan kini, dalam keadaan gelap beserta iringan music lembut dan gambar indah di layar besar.



Slot ini dibuat amat kerap, hampir dalam semua slot sama ada dimulakan dengan atau ditutup dengan sesi sebegini.



Ia dipuji oleh ramai peserta kerana majoriti mereka gagal menahan diri dari menitiskan air mata. Malah ramai individu berpangkat dan berjawatan tinggi turut memuji dan menitiskan airmata dalam slot ini apabila sahaja provokasi kesedaran dari trainer menyentuh hal-hal yang mengenai kesalahan yang pernah dilakukan oleh para peserta.



Selain muhasabah kesalahan diri, biasanya slot ini dimulakan dengan hidangan fakta saintifik yang menyokong kebenaran Al-Quran, Rasulullah, keagungan Allah swt dan lainnya.



Bagi menambahkan rasa ‘feel' kepada semua hadirin, menjadi trend, pihak trainer dan pembantu akan mengacukan mikrofon kepada beberapa individu yang dilihat sedang khusyuk menangis lalu dipohon indifvidu yang memang sedang menangis ini untuk berkongsi doanya menggunakan mikrofon. Lalu terdengarlah suara menangis sambil berdoa di seluruh dewan, lalu diamenkan oleh sebahagian peserta.



Ulasan :







Percampuran dengan bukan Islam dalam beberapa slot ibadah telah saya sarankan untuk diasingkan namun pihak ESQ kelihatan menghadapi kesukaran kerana jumlah bukan Islam hanya tiga orang dari 500 orang. Namun demikian, bukan perkara pelik kita melihat di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, slot doa disertai oleh bukan Islam. Namun mereka hanya diam tidak mengangkat tangan. Justeru, jika perkara ini dianggap besar, pihak berkuasa agama Malaysia perlu turut memberi amaran kepada seluruh negara.



Pengendalian majlis keinsafan sebegini tidaklah menjadi isu terlalu besar bagi saya, walaupun menyedari majlis dan keadaan majlis sedemikian pasti akan ditolak oleh mana-mana ilmuan Islam yang bermanhaj Salaf, kerana ia tergolong dalam hal rekaan baru dalam kaedah beribadah.Saya tidak ingin menyentuh isu itu dalam ruangan ini, disebabkan ia masih tergolong dari isu-isu khilaf.



Namun demikian sekalipun ia mempunyai asas seperti slot zikir para ahli tasauf dan tarekat sufiah dan kumpulan ulama yang menyokongnya, ia menimbulkan sedikit masalah hukum apabila mikrofon turut diberikan kepada para peserta wanita yang berdoa sambil menangis-nangis. Keadaan ini adalah KURANG TEPAT, khususnya suara wanita yang sedang berdoa dan menangis itu mendayu-dayu dan boleh sahaja menganggu kekhusyukan peserta lain, khususnya peserta lelaki yang sedang berdoa dan bermunajat.



Perlu difahami, bahawa Islam amat melarang, segala perbuatan yang berpotensi mengganggu sesuatu ibadah, akibatnya Nabi s.a.w TIDAK MEMBENARKAN wanita menegur imam yang terlupa atau tersilap sewaktu solat dengan sebarang lafaz dan suara kerana dibimbangi menjadi fitnah kepada lelaki yang berpenyakit di hatinya. Terlebih ditolak adalah suara yang mendayu.



Dalil Hadithnya :-



فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ما لي رأيتكم أكثرتم التصفيق من رابه شيء في صلاته فليسبح فإنه إذا سبح التفت إليه وإنما التصفيق للنساء

Ertinya : Berkata Rasulullah SAW , mengapa aku melihat kamu banyak bertepuk apabila ragu-ragu (waswas) dalam sesuatu perkara semasa solatnya. Hendaklah kamu ( lelaki ) bertasbih dan sesungguhnya tepukan itu hanya untuk wanita" ( Riwayat Al-Bukhari, no 652)

Allah SWT yang menciptakan manusia sememangnya telah memberi peringatan akan hal ini apabila menyebut :-



فَلاَ تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِى فِى قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَّعْرُوفاً

Ertinya : Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandngan dan tatacaranya)" (Al-Ahzab : 32)

Imam al-Jassas ketika mentafsirkan ayat dari surah al-ahzab tadi menyebut bahawa ayat ini memberi hukum BAHAWA WANITA DILARANG DARI MELAUNGKAN AZAN, kerana kemerduan suara wanita dijangka mampu mengelodak hati sang lelaki ( Ahkam al-Quran, 5/229 dengan pindaan ringkas)



Demikian juga pandangan mazhab Syafie dan hanbali, dan tidak diketahui ada yang bercanggah pendapat dalam hal ini , kata Imam Ibn Quddamah, ( Al-Mughni, 2/68 )



Tindakan : Saya telah berbincang dengan Trainer pada hari tersebut, Pak Aminur Rahman Pulungan, maka selepas itu tiada lagi mikrofon diberi kepada wanita sewaktu sesi tersebut, hanya lelaki sahaja mankala bagi wanita, ia diganti dengan sharing melalui ucapan sahaja.



2) Majlis Menangis



Majlis doa dan keinsafan dikritik oleh beberapa individu malah disindir sebagai majlis menangis secara berjemaah dikritik sepuasnya oleh mereka yang mengkritik. Memang yang terbaik adalah menangis sendirian di rumah atau di dalam majlis ibadah peseorangan.



Namun bagi saya, tiada sebarang masalah untuk slot doa dan keinsafan ini walau ia majlis menangis secara berkumpulan. Ia hanyalah satu latihan dan permulaan bagi mereka yang sukar menitiskan air mata keinsafan kepada Allah.



Malah tangisan itu diusahakan dengan paparan ayat-ayat al-Quran yang membuktikan bahawa kebanyakkan sahaja hasil kajian saintifik moden, hakikatnya telah disebut di dalam Al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu. Hasil dari itu, pihak trainer berusaha menusuk jiwa dan kalbu peserta untuk menghayatinya sehingga menangis.



Mengenangkan keadaan baginda nabi s.a.w yang didustai, dan melihat diri masing-masing yang begitu jauh dengan kebenaran Al-Quran dan risalah yang dibawa baginda Nabi. Bagi saya keadaan itu masih punyai asas di dalam Islam sebagai hadis :-



اقرؤوا القرآن وابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا

Ertinya : Bacalah al-Quran dan menangislah kamu semua, sekiranya kamu tidak mampu menangis maka buat-buatlah menangis (Riwayat Tirmidzi, Al-Hafidz Al-Iraqi : sanadnya baik)



Malah nabi bersabda :-

إنَّ اللهَ لا يُعذِّبُ بدمعِ العينِ ولا بحزنِ القلبِ ، ولكن يُعَذِّبُ بهذا - وأشار إلى لسانه - أو يرحمُ

Erti : Sesungguhnya Allah tidak mengazab air mata yang bercucuran dan juga hati yang bersedih, tetapi Allah mengazab ini - sambil menunjukkan ke lidah- atau Allah memberikan belas kasihannya ( Riwayat Al-Bukhari , 1242 ; Muslim 924)



Persoalannya bolehkah berkongsi menangis sebagaimana yang dilakukan di dalam ESQ? Pada hemat saya , ini juga tiada sebarang masalah berdasarkan hadis :



عمر بن الخطاب رضي الله عنه للنبي صلى الله عليه وسلم وقد رآه يبكي هو وأبو بكر في شأن أسارى بدر : أخبرني ما يبكيك يا رسول الله ؟ فإن وجدت بكاء بكيت ، وإن لم أجد تباكيت لبكائكما ( أخرجه مسلم في صحيحه ضمن حديث مطول في الجهاد

Ertinya : Umar al-khattab r.a melihat Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar sedang menangis dalam hal tawanan badar lalu Umar berkata : Beritahukan kepadaku apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai rasulullah ? sekiranya aku boleh turut mendapatkannya (sebab menangis) nescaya akan ku tangisi bersama, sekiranya aku tidak mendapati sebab untuk menangis nescaya akan ku bertangis untukmu berdua. ( Riwayat Muslim)



3) Salib



Gambar tubuh bercahaya sewaktu bermula slide inner journey, hampir menjadi lambing salib. Walaupun ia bukan perkara dasar dan besar kerana adakala tiada peserta yang perasan. Namun bagi mengelakkan salah tanggap atau sebarang tohmahan, saya menyarankan ia diubah.



4) Burung dan aksi



Terdapat satu slot yang agak panjang hanya menyediakan sebuah hadis ringkas dan gambar burung terbang diiringi muzik. Trainer pula memberikan aksi seperti burung terbang dari awal hingga akhirnya dalam masa sekitar 5 minit, seolah ruh manusia diterbangkan dalam burung yang cuba disesuaikan dengan makna sebuah hadis.



Isu pendekatan dan sejauh mana cara ini menepati syariah atau tidak, tentunya ia ditolak oleh kumpulan salaf, namun secara dasarnya, saya merasakan ia boleh ditakyif (dicirikan) sebagai BUKAN sebuah ibadah khusus, dan ia hanya satu persembahan yang mensasarkan kerehatan minda, tumpuan terhadap balasan baik bagi insan soleh yang bermula di alam barzakh dengan balsaan ruhnya diletak di dalam burung yang berterbangan di syurga, ia juga saya kira satu module selingan sahaja.



Namun tidak dinafikan slot ini turut mendapat kritikan apabila ada yang menyamakannya dengan gospel dan lainnya. Secara peribadi saya tidak nampak banyak persamaannya, kecuali penggunaan muzik instrumental sahaja. Penggunaan muzik dalam sesi ingatan dan zikir adalah isu yang diperdebatkan turun temurun dan saya tidak berhasrat untuk memanjangkannya di sini dan menganggapnya bukan isu dasar serta slot yang perlu dirisaukan dari sudut aqidah dan syariah.



Cadangan Saya Kepada ESQ:







Memperbetulkan terjemahan hadis yang digunakan dan meletakkan sumbernya. Berikut adalah lafaz dan sumber hadis yang perlu dipaparkan :- إنما المؤمن طائر يعلق في شجر الجنة حتى يرجعه الله إلى جسده يوم يبعثه

Ertinya : Sesungguhnya ruh orang mukmin itu seperti burung (atau berada di dalam burung - bermakna tidalah kelihatan ruh manusia berterbangan), yang menikmati hidangan (dan berterbangan bebas) di pepohon Syurga sehinggalah dikembalikannya oleh Allah ke jasadnya di hari kebangkitannya. ( Riwayat Malik, Tirmidzi & Ibn HIbban : Hadis Sohih ; Ibn Hibban, Arnout, Syakir)





Oleh kerana terbangan burung ini dan sekitarnya adalah alam ghaib, maka aksi terbang yang dilakukan oleh trainer dan video burung helang terbang di lembah-lembah itu perlukan sedikit nota kecil di video yang menyatakan ia bukan menggambarkan gambaran bagi keadaan SEBENAR di alam ghaib. Nota ini diperlukan bagi mengelakkan ada peserta yang membayangkan secara hakiki keadaan ghaib akan berupa seperti demikian. Menegaskan bahawa keistimewaan ini hanya boleh diperolehi bagi individu yang sudah mencapai tahap 'MUKMIN' iaitu satu sifat yang menunjukkan individu terbabit telah taat dalam menjauhi larangan dan menjunjung suruhan Allah swt, serta ikhlas dalam amalannya ketika di dunia. Bukan semua mampu memperolehinya.

Saya juga ingin mencadangkan agar slot ini samada ditiadakan terus jika dirasakan tiada banyak impak kepada peserta atau dipendekkan sahaja.





5) Lagu ESQ



Beberapa lirik awalan lagu tersebut dlihat bermasalah, atau berpotensi menyebabkan silap faham yang dahsyat.



Lirik seperti :-





"Telah lama kucari"



"Tiada suatu memberi"



"Ku dapat kini yang pasti"



"ESQ pengingat diri"





Lirik ini berpotensi besar untuk membawa salah faham, sepertiberikut :_







Seolah semua program dakwah, usaha indiivdu dan organisasi lain tiada sebarang manfaat dan gagal, hanya program ESQ yang berjaya dan memberi erti sebenar.Seolah ESQ sahaja yang mengingat diri, dan menafikan ingatan dari para ulama, pendakwah dan lainnya.





Saya difahamkan oleh pihak ESQ ketika berbincang semasa dan selepas kursus, apa yang dimaskudkan dalam lirik itu adalah, ALLAH yang memberi, adapun ‘yang lama kucari' itu merujuk kepada ketenangan tidak hakiki, seperti kesenangan harta, pangkat, jawatan, dunia, kekayaan dan lain-lain.





Walaupun saya bersetuju dengan penerangan itu, saya masih merasakan susunan lirik itu adalah salah sehingga berpotensi besar membawa silap faham pendengar termasuk kepada saya sendiri ketika pertama kali mendengarnya.





Cadangan Saya Kepada ESQ:





Trainer ada menegaskan bahawa mereka akan mencelah semasa lagu dinyanyikan dengan menyebut kalimah Allah, namun tindakan ini masih masih tidak mampu menjamin konsistensi semua trainer lain di semua tempat kursus.



Oleh itu, saya mencadangkan agar perenggan pertama lirik agu ESQ dirombak bagi memastikan tidak salah faham dan tiada ruang bagi dituduh sebagai taksub kepada esq dan menolak kebaikan dari semua yang lain. Pinda sahaja lirik lagu itu atau boleh ditambah maksud sebenarnya di dalam kururngan.





6) Gambaran alam ghaib.



Gambaran api, gunung berapi dan lainnya apabila menyebut berkenaan neraka dan azabnya.



Ulasan saya :



Kemungkinan tedapat pihak yang tidak bersetuju dengan percubaan menggambarkan azab dan api neraka dengan apa yang ada di atas dunia, kerana alam ghaib adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan dan percubaan menggambarkannya akan membawa kepada mengecilkan nilai azab yang menunggu ahli derhaka Allah di akhirat dan barzakah.



Namun sekali lagi, isu ini bukan isu dasar yang boleh menjadikan seluruh model ESQ ditolak. Malah hadis di bawah boleh diambilkira sebagai salah satu asas percubaan untuk memasukkan gambaran azab ke dalam hati pendengar adalah dibenarkan.



لقيني أبو بكر وقال: "كيف أنت يا حنظلة؟ قلت: نافق حنظلة! قال: سبحان الله، ما تقول؟ قلت: نكون عند رسول الله (صلى الله عليه وسلم) يذكِّرنا بالنار والجنة حتى كأنا رأي عين فإذا خرجنا من عنده عافسنا - لاعبنا وخالطنا - الأزواج والأولاد والضيعات فنسينا كثيرا! فقال أبو بكر: فوالله إنا لنلقى مثل هذا. قال حنظلة: فانطلقت أنا وأبو بكر حتى دخلنا على رسول الله (صلى الله عليه وسلم)، قلت: نافق حنظلة يا رسول الله، فقال: وما ذاك؟ قلت: يا رسول الله، نكون عندك تذكرنا بالنار والجنة كأنا رأي عين، فإذا خرجنا من عندك عافَسْنا الأزواج والأولاد والضيعات ونسينا كثيرا. فقال رسول الله (صلى الله عليه وسلم): "والذي نفسي بيده لو تدومون على ما تكونون عندي وفي الذكر لصافحتكم الملائكة على فرشكم وفي طرقكم ولكن يا حنظلة ساعة وساعة - وكررها ثلاثا" رواه مسلم

Ertinya : Hanzalah berkata : aku bertemu Abu Bkaar as-Siddiq lalu Abu Bakar bertanya : bagaimaan kamu wahai Hanzalah?" Jawab Hanzalah : Aku telah jatuh munafiq! : Abu Bakar : Mahasuci Allah, apa yang kamu katakan ini?. Jawab Hanzalah : Kita bersama rasulullah s.a.w MENGINGATKAN KITA BERKENAAN NERAKA DAN SYURGA sehingga SEOLAH-OLAH KAMI MELIHATNYA DI HADAPAN MATA, namun apabila kami keluar dari majlisnya kami bermain-main mesra dengan anak kami dan isteri kami, dan kami sesungguhnya telah lupa banyak...(Riwayat Muslim)



Dapat dilihat dari terjemahan ringkas hadis di atas, penceramah memang dituntut berusaha untuk menjelaskan dengan paling jelas berkenaan azab neraka dan nikmat syurga. Sehingga mampu dibayang ringkas oleh pendengar, lalu soal mempelbagaikan kaedah dan teknik menggunakan video dan gambar api biasa di dunia dikira harus selagi mana dinyatakan dengan jelas ia bukanlah gambar sebenar api di neraka yang tentunya jauh lebih dahsyat.



Cadangan Saya Kepada ESQ: Bagi mengelakkan ada yang silap tanggap menyangka azab api hanya seperti percikan gunung berapi, slide pihak ESQ perlu membuat nota kecil menjelaskan hal bahawa gambaran itu bukanlah gambaran sebenar.



7) Slot senaman mirip tarian dan ATS



Slot ini boleh dianggap sebagai sesi hilang ngantuk yang diiringi lagu pop dan bukannya lagu patriotik. Perlu diingat bahawa selain sesi ini, sudah ada sesi senaman yang berlatabelakang lagu nilai murni ESQ, manakala sesi ini pula dinamakan Tu Wa Ga Pat.



Ulasan Saya :



Sesi Tu Wa Ga Pat ini dilihat amat TIDAK sesuai kerana ia seolah telah menukar seluruh dewan program menjadi seolah disko tarian diiringi lagu. Ia amat amat kelihatan mencampurkan keinsafan dan kebenaran dengan kebatilan.



Walaupun tiada percampuran lelaki wanita kerana telah dipisahkan barisan kerusinya, ia tetap amat tidak sesuai apabila mereka saling boleh memandang antara satu sama lain. Imej ini amat tidak sesuai dengan sebuah training yang menitikberatkan sesi doa, kesedaran spiritual dan merujuk kepada Islam.



Selain itu, semua tenaga sukarelawan ESQ yang diberi nama ATS, dari kalangan lelaki dan wanita turut diminta oleh trainer untuk maju ke hadapan meminpin sesi streching dan senaman.



Namun bagi saya, ATS wanita yang terdiri dari wanita amat TIDAK SESUAI untuk ke hadapan menayangkan diri semasa strecshing dan bergerak-gerak seperti berjoget semasa sesi lagu ESQ.



Cadangan Saya Kepada ESQ :



Saya mencadangkan ia dipotong semuanya, dan cukup sekadar slot stretching bagi menghilangkan mengantuk dan kelesuan tubuh peserta.





ATS wanita pula TIDAK PERLU dipanggil ke hadapan, cukup sekadar ATS lelaki sahaja. Saya dilaporkan oleh seorang individu trainer ESQ bahawa pernah berlaku semasa kursus ESQ untuk Teens ( remaja), ATS wanita diganggu oleh peserta remaja lekaki semasa berada di hadapan peserta termasuk peserta lelaki. Bagi mengelakkan ESQ mendapat fitnah dari keadaan ini. ATS wanita tidak perlu ke hadapan.







Tindakan Segera Oleh ESQ : Pihak trainer telah memanggil semua individu utama dan meminta saya menerangkannya sekali lagi dan semua mereka kelihatan bersetuju dan slot selepas itu tiada lagi wujud di sebelah petang dan esok harinya.



8) Proses zero mind.



Sefaham saya, proses ini dirujuk kepada proses membuang sifat-sifat mazmumah sebelum mampu sampai kepada hati suci bersih. Proses ini juga dikatakan boleh dinamakan proses taawakkal kepada Allah swt dan pergantungan penuh kepadaNYa. Apabila tawakkal sudah berjaya dilaksanakan, ia mungkin sahaja membawa kepada infiniti atau luar biasa atau bantuan Allah yang tidak dapat dijangkakan oleh aqal manusia. Itulah proses zero mind.



Ulasan Saya :



Setakat penerangan yang diberi ketika kursus, itulah yang saya fahami. Justeru, saya tidak melihat terdapat sebarang masalah. Cuma terdapat dakwaan mengatakan ESQ mendakwa proses Zero Mind boleh mencipta kuasa luar biasa kerana dirujuk kepada kisah Kapten Abd Razak. Aspek luar biasa yang dimaksudkan adalah apabila semua usaha pilot Abd Razak berdasarkan pengalaman dan ilmu untuk menyelamatkan kapal terbangnya telah gagal, beliau bertakbir dan menyerahkan urusan seterusnya kepada Allah swt, kesan dari itu, kapalterbangnya dapat mendarat di dalam sungai dengan luar biasa.



Itulah yang dimaskudkan oleh ESQ sebagai proses Zero Mind, pembersihan pergantungan kepada alam dan makhluk setelah habis usaha, lalau diserahkan kepada Allah swt yang maha berkuasa.



Saya kira, intipati tersebut adalah bertepatan dengan Syariah, malah bersangka baik, bertawakal dan tidak putus asa sememangnya dituntut. Sebagai sebuah hadis qudsi ertinya:



أنا عند ظن عبدي بي ، وأنا معه إذا ذكرني

Allah menyebut : aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, dan aku bersama mereka apabila mereka mengingatiKu (Riwayat Muslim)



Sebahagian riwayat lain pula berbunyi :-



أنا عند ظن عبدي بي إن ظن خيرًا فله وإن ظن شرًا فله

Erti : aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, sekiranya mereka bersangka baik, maka akan ditunaikan, jika mereka bersangka buruk, turut akan ditunaikan ( Riwayat Ahmad, Ibn Hibban)



Dan juga Firman Allah :-



وَلاَ تَيْأَسُواْ مِن رَّوْحِ اللّهِ إِنَّهُ لاَ يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللّهِ إِلاَّ الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Ertinya : Jangan kamu BERPUTUS ASA dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir (Yusuf : 87 )



Namun setelah menyemak kembali slide kursus bersama trainer selepas kursus, saya mendapati cara penerangan mereka sememangnya ada sedikit potensi untuk silap tanggapan.



Cadangan Saya Kepada ESQ:



Boleh diteruskan module Zero Mind, cuma perlu ditekankan konsep tawaakal dengan usaha, serta arahan Allah untuk tidak berputus asa dalam apa jua keadaan.



Memasukkan dua dalil di atas sebagai tamabahan kefahaman di dalam slide.



Manakala hadis yang digunakan oleh pihak ESQ iaitu yang beerti "tiada hati melainkan semacam awan yang menyelimuti rambulan.." memerlukan semakan dan takhrij.



9) Taksub dan trainer sebagai nabi



Ada yang mengatakan bahawa ESQ adalah sebagai satu kursus penyucian diri dengan kenyataan moderator ESQ, "Pada hari ini, kamu telah dimuliakan sama seperti para Nabi dan orang-orang yang mulia". Ia mirip dengan konsep agama Kristian.



Ini ini saya tidak pasti, kerana setakat kehadiran penuh 100 % saya di kursus ESQ pada tanggal 1Mei 2009 yang lalu, tiada sebarang kenyataan seperti itu dan telah diingatkan beberapa kali kepada trainer untuk mengingatkan bahwa bukan mereka yang memberi hidayah atau penyucian. Saya lihat trainer telus dan menyebutnya banyak kali. Namun saya tidak dapat memberikan komen kepada kursus ESQ yang lain, ditempat lain atau bersama trainer yang lain. Komentar saya hanya terhad kepada kursus yang saya ikuti.



Jika benar ia berlaku, ini bermakna itu adalah kesilapan sang tranier secara individu dan bukan model asas dan skrip pelatihan ESQ.



10) Angel Principle :



Ia diadaptasi dari rukum iman, mempercayai kewujudan Malaikat, maka dalam penilaian saya terhadap penerangan yang diulas oleh trainer. Ia hanya menekankan keperluan semua pekerja dan muslim untuk merasa saya perhatian menyakini bahawa ada Malaikat yang mencatat semua perbuatan kita luar dan dalam.



Setakat penilaian saya, tiada sebarang penyelewengan tafsiran mahupun tafsiran baru setakat apa yang saya perhatikan, malahan ia adalah ilmu yang sememang telah disebut oleh Allah swt.



مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Ertinya : Tiada satu lafaz pun yang engkau sebutkan, kecuali ada baginya malaikat Raqib dan Atid yang mencatat ( Qaf : 18)



Justeru, lebih tepat jika pihak ESQ memasukkan ayat di atas untuk menghurai prinsip angel ini, lebih kemas jika tafsirannya kemas dengan huraian ulama tafsir.



11) Hadis : "Perang yang paling berat adalah perang melawan hawa nafsu"



Hadis ini memerlukan takhrij dan semakan.



12) Aktiviti Total Action







Simulasi Lontar Jamrah - melontar belenggu dan syaitan. Dibuat dengan melontar satu white board berlukisan wajah seperti syaitan.







Simulasi Tawaf : dibuat dengan mengelilingi kotak empat segi berselimut hitam seperti kaabah, sekali dilihat tidak ubah seperti kursus haji anjuran masjid-masjid Malaysia.







Simulasi saie : dibuat dengan berjalan dari satu hujung ke hujung yang lain beraai-ramai



Ketiga-tiga aktiviti ini dibuat berasingan antara lelaki dan wanita. Tiada percampuran.



Pihak peserta akan membuat simulasi ketiga-tiga perbuatan Haji di atas sebagai mengambil pengajaran darinya. Tujuan mereka adalah untuk menekankan aspek bahawa setiap keyakinan, kefahaman serta kecintaan kepada Allah dan RasulNya menuntut usaha, kerja dan tindakan. Bagi memberikan sedikit pengalaman kepada peserta, ESQ menwujudkan simulasi ini.



Namun pihak trainer telah pun mengingatkan peserta berkali-kali bahawa aktiviti ini BUKAN dari kerja ibadah tetapi hanya salah satu bentuk model dan pengajaran sahaja.



Namun demikian, saya menguzurkan diri dari melakukan ketiga-tiga simulasi ini, saya hanya menjadi pemerhati di tepi dewan sahaja.



Ulasan :



Ketiga-tiga simulasi kelihatan tidak perlu pada pandagan peribadi saya. Malah semua input memadai dengan penerangan sahaja. Sekiranya PIHAK esq INGIN JUGA memberikan rasa bagaimana bertindak. Sudah memadai model memecah belon dan dihalang oleh peserta, sebagai cara memberikan pengalaman.



Lebih baik jika pihak ESQ dapat memikirkan cara model sedemikian untuk semua peserta berbanding model simulasi ketiga-tiga pekerjaan haji tadi.



Ini kerana, jika dilihat dari tepi, ia tidak ubah seperti ibadah yang menyeleweng, walaupun telah diingatkan berkali-kali oleh trainer ia bukan ibadah, namun meniru aktiviti ibadah khusus yang bukan ditempatnya, amat berpotensi menimbulkan salah faham, persepsi dan sangka buruk sama ada dari kalangan orang luar mahupun peserta sendiri. Sedangkan ia tidak memberi banyak impak pada hemat saya. Lebih dari itu, kebanyakkan peserta melakukannya dengan riang, gembira dan bercampur gelak ketawa ada kalanya. Ia secara tidak langsung mencemarkan bentuk aktiviti ibadah khusus haji.



13) Pergerakan ala tarian semasa lagu matahari



Peserta diminta oleh trainer untuk bergerak bersama dengan lirik nasyid yang diambil dari surah as-Shams. Peserta akan berpusing sambil mengangkat tangan semasa menyebut ‘demi langit beserta seluruh binaannya"



Cadangan Saya Kepada ESQ



Bagi pihak saya, saya tidak bergerak sama sekali semasa nasyid itu dibuat, hanya memerhati. Hasil perhatian itu, saya dapati pergerakan ala tarian ini sama sekali tidak sesuai, malah tiada manfaatnya buat iman, dan hati.



Islam hanya menyuruh kita untuk berdoa semas membaca ayat yang mengandugi doa-doa. Namun tidak disuruh untuk bergerak-gerak seperti maksud ayat.



Malah, pergerakan berpusing sambil mengangkat tangan agak menggerunkan untuk dilihat, kerana seolah kumpulan ajaran sesat menyembah sesuatu. Oleh kerana tiada banyak manfaat dari pergerakan tersebut, malah mengundang tawa dan bermain-main di hati peserta kerana melihat pergerakan masing-masing, eloklah ia dipinda sahaja.



Bukanlah maskud ayat quran untuk ditari dan ditertawa, tetapi untuk diteliti dan difahami serta amal, bukan amalnya dengan berputar seperti berputarnya matahari dan bumi.





PERKARA YANG TIDAK SAYA TEMUI DI DALAM PROGRAM



1) Pukau : tiada pukau, saya saya tidak sama sekali ada rasa terpukau atau dipukau dalam mana-mana slot. Hanya teknik motivasi provokative dalam slot doa dalam slot penutup setiap sesi, dan juga sesi Cartasis (ketika itu perlu memeluk seorang saabat dan menjawab soalannya yang bertubi-tubi berkenaan ‘siapa kamu' dan apak yang kamu mahu'. Hasil soalan bertubi-tubi itulah adakalanya sebahagian peserta termengaku dirinay yang melakukan kejahatan. Tetapi bagi saya itu hanya sebuah MODULE dan bukan seperti slot pengakuan (confession) kesalahan kepada paderi di dalam agama Kristian Katholik. Apa yang lebih penting adalah sesi pengajarannya, dimana peserta diingatkan bahawa semua sangkaan manusia terhadap indentiti sebenar dirinya sebagai hamba Allah sering terhalang oleh rasa bongkak dan pangkat sementara di dunia, demikian juga apa yang dimahukan sering terhad kepda dunia, sedangkan Allah dan syurga sepatutnya menjadi idaman setiap insan.



Sesi cartasis dan sesi insaf setiap sebelum dan selepas satu, biasanya dilakukan untuk mengeluarkan dan membangkitkan rasa insaf dalam diri peserta. Saya tidak melihat sebarang unsur pukau di sini malah adalah biasa bagi seseorang penceramah sering berusaha mengawal minda dan hati peserta dan pendengar bagi menjadikan mereka sebagai insan yang lebih baik. Juga biasa, penceramah menaikkan suara dan bermain intonasi bagi meresapkan pengajaran dan keinsafan dalam diri pendengar.



2) Harga Mahal : Saya datang sememangnya jemputan tanpa bayaran, cuma bayaran RM 1380 itu saya kira logik kerana kemudahan yang disediakan, setiap lagu yang dimainkan dibayar royalty kepada pemilik lagu seperti Raihan, Haddad Alwi, Kitaro, dan lainnya.



Lebih logik apabila ia masih lagi menyewa sebahgain peralatan bunyian yang mahal. Saya difahamkan, pihak ESQ telah membeli beberapa layar besar dan beberap buah lcd yang dipancar dari belakang. Namun masih ada yang disewa.



Selain itu, makanan dan sewa tempat, demikian name tag, kemudahan scan name tag bagi memastikan peserta benar sahaja yang masuk. Buku dan bahan bertulis, fail beg, name tag, kad alumni, kos R & D, training development dan lainnya.



Gaji pekerja sepenuh masa yang memcecah 480 orang terdiri dari trainer, asst trainer, pegawai pentadbiran, makanan ATS dan lainnya amat memerlukan kos. Sebagai individu yang pernah menganjurkan kursus, saya kira mereka masih lagi membuat keutungan namun ia masih lagi tergolong keuntungan yang halal selagi mana inti kursus adalah sah.



Selain itu, apabila yuran tersebut juga menjadi tiket peserta digelar alumni, dengannya semua alumni boleh hadir lagi kursus basic ESQ tanpa sebarang limit.



3) Syirik : Tidak saya jumpainya unsur ini dalam kursus ESQ.



4) Sujud Taubat : Tiada saya lihat mana-mana peserta sujud dalam kursus yang saya hadiri, jika ada sekalipun ia adalah sujud syukur dan bukan pula sujud kepada trainer. Sesi sujud ini tidak ada dalam kursus yang saya hadiri tetapi dikatakan ada dalam sesi lain, dimana trainer menggalakkan semua peserta termasuk petugas ESQ sudju syukur asta kesederan diri.



Cadangan saya : Jangan dipaksa atau diarah peserta untuk sujud syukur, tiada ertinya sujud syukur tanpa benar-benar rasa bersyukur. Mungkin sahaja terdapat sebahagain peserta yang belum masa untuk sujud syukur. Individu bukan Islam pula tidak pelru melakukan sujud ini sama sekali.



5) Taksub kepada trainer, Ary Ginanjar dan ESQ

Tidak saya jumpai kerana dari awal pihak trainer mengingatkan berkali-kali agar terima kasih kepada Allah swt dan Nabi Muhammad s.a.w dan bukannya mereka. Justeru, jika ada bekas peserta yang taksub, ia tidak wajar dibebankan kesalahn itu kepada pihak ESQ. Saya kira, mana-mana organisasi dan aliran akan pasti mempertahankan keyakinan mereka dan merasa berterima kasih dengannya jika organisasi itu disertai mereka, apatah lagi apabila dia mendapat kesedaran untuk beragama darinya. Saya kira ia proses normal, cuma ada tidak dinafikan wujudnya individu yang melampau. Sama seperti PAS, JIM, ABIM, Tabligh, Tareqat, pengikut aliran Salaf, khalaf, pondok dan lain-lainnya. Semua ahli dari organisasi terbabit tentunya akan memprtahankan dan berterima kasih kepada organisasi mereka dalam banyak keadaan, khsusunya apabila organisasi, pemimpin atau pendekatan mereka dikritik.







Perlu difahami taksub yang difahamkan oleh Nabi s.a.w hanyalah menyokong dan mempertahankan kaum, organisasi atau pihak sendiri DALAM PERKARA YANG TERNYATA SALAH DAN SELEWENG dari agama. Mempertahankan organisasi sendiri dalam hal cabang yang berbeda pendapat berkenaannya tiadalah tergolong dalam taksub.



6) Tafsir Batini yang menyeleweng : Semua ayat yang diambil punyai erti yang straight forward, justeru tiada timbul tafsir batini. Setakat pengamatan saya, tiada kelihatan sebarang tafsir batini yang saya lihat berlaku.



7) Islam Liberal : Setakat kursus yang saya hadiri, saya lihat puisi kedamaian yang kontreversi telah ditiadakan slidenya, manakala penjelasan berkenaan suara hati telah diubah suai sehingga tiada kenyataan yang seolah membenarkan agama lain dan suara hati bukan Islam. Namun demikian beberapa pembetulan lagi perlu dibuat, sila rujuk ulasan saya sebelum ini.



8) Tafsir sufi (batiniy, isyaariy) terhadap surah al-fatihah

Seperti ihdinas shirâthal mustaqîm (Ihdinâs dengan H besar, yang harus dibunyikan dari dalam perut diartikan "menunjukkan kesungguhan dalam beraksi" dan ayat-ayat sebelum dan sesudahnya diartikan secara paksa agar sesuai dengan jiwa managemen :



Ulasan saya : Saya tidak dapati mana-mana trainer menafsirkan sedemikian dalam kursus ESQ yang saya hadiri.

PERKARA YANG CABANG DAN TIDAK BOLEH MENJADIKANNYA HARAM



1) Penggunaan lagu dalam semua pembentangan : ikhtilaf



2) Lagu patriotik : ia adalah training human resources dan sasraannya orang awam. Ia logic.



3) Senaman ringan : Ia juga isu cabang yang tidak sampai perlu diharam secara total.



4) Doa berjemaah : ia isu khilaf, walaupun apapun tarjih saya, saya tidak boleh menolak ijtihad ulama yang membenarkan.



5) Selawat berjemaah : Juga khilaf.



6) Pendekatan multi media dalam dakwah : Ia perkara yang sewajarnya diterima, Cuma ada batasannya. Justeru, aktivti senaman beralunkan lagu pop telah saya tegur pihak ESQ dan telah mereka tamatkan selepas itu. Saya mengharapkan mereka konsisten menamatkan persemabahan senaman dialuni lagu pop ini dalam semua training mereka akan datang.



PENUTUP



Segala yang baik dari Allah, yang lemah dari kekeurangan saya. Saya berharap kedua-dua pihak sama ada ESQ dan alumninya. Serta pihak yang menuduh ESQ sebagai menyeleweng aqidah dan hukum untuk bersabar dalam bantahan dan hujjahan masing-masing sebelum mendapatkan penjelasan padu dan melihat dari awal sehingga habis bagaimana kursus itu dijalankan. Selain itu, jika benar sekalipun, saya dapat melihat kesungguhan pihak ESQ membetulkan kesilapan mereka, mereka amat jarang mempertahankan sesuatu pendekatan jika telah dibawakan hujah akan kesilapannya dari sudut Islam.



Buku-buku Pak Ary Ginanjar dan kesilapan di dalamnya tidak boleh dijadikan lesen untuk mengharamkan terus kursus ESQ kerana kandungan training dan pendekatannya tidaklah menggunakan semua isi buku itu, khususnya yang silap. Malah apa yang lebih penting, kesemua buku-buku itu telah ditarik balik oleh pengurusan ESQ untuk diperbetulkan. Sikap keterbukaan dan menerima teguran ini wajar dipuji dan dihargai.



Mana-mana yang mampu dan boleh diperbaiki, wajar dinasihat dan dibaiki, bukan dihalang terus, khususnya di musim kekeringan Malaysia dari kursus kepimpinan peringkat korporat yang berciri Islam, dan kebanjiran kursus bertuhankan barat dan bercampur baur lelaki wanita tanpa sebarang panduan.



Sekian



Zaharuddin Abd Rahman



www.zaharuddin.net



7 Mei 2009

No comments: