Saturday, May 28, 2011

Kebatilan Slogan "Allah Wujud Tanpa Bertempat"

Kebatilan Slogan " Allah Wujud Tanpa Tempat "



Sanggahan terhadap dakwaan:

“Kami Mengagungkan Allah dengan Pengagungan yang selayaknya, maka kami tidak menetapkan tempat bagi Allah, sebab dengan mengatakan demikian (mempercayai Allah berada di tempat/arah sekian dan sekian, di langit/Arasy misalnya) kita dengan itu telah mengatakan bahawa Allah perlu atau berhajatkan kepada tempat sepertimana makhluqNya dan tempat/arah itu sendiri adalah suatu ciptaan atau makhluq Allah.”




Kami katakan sebagai jawapan kepada dakwaan ini:

“Golongan paling ‘alim, Salafussolih, telah mengajarkan kita, agar jangan melakukan berbagai andaian dan takwilan dalam mentafsirkan atau memahami ayat Allah, malah hendaknya kita terima penjelasan Allah dengan Firman-firmanNya dan penerangan Rasulullah shallallahu 'alaythi wasallam serta pemahaman para Sahabat radhiyallahu 'anhum ajma'ien.”

Kenyataan atau I‘tiqad bahawa “Allah wujud tidak bertempat”  yang bermaksud berkenaan Dzat Allah yang Maha Suci, apakah ada satu nas al-Qur’an atau as-Sunnah (hadiets – yang sahih daripada Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam), atau kata-kata walau seorang pun daripada para Salafussolih (para Sahabat dan para Imam 3 kurun pertama yang dijamin Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam) yang menyokongnya dan layak dijadikan sebagai bukti pendokong dan penguatnya?

Hakikatnya, yang sebenarnya, anda tidak mampu menemukan walau satu pun (melainkan jika anda bermatian mendapatkan tukilan daripada seseorang alim yang hidup selepas 300H – ketika mana pengaruh falsafah telah menyerap masuk ke dalam perbahasan ‘Aqiedah).

Apa yang telah dikemukakan dalam siri artikel ini, berupa nas-nas al-Qur’an, as-Sunnah yang suci dan juga kata-kata para Imam zaman Salafussolih, malah Ijma‘ atau kesepakatan mereka, dengan jelas tegas dan pasti membuktikan bahawa Allah berada di atas segala makhluqNya, di atas tujuh petala langit dan Dia naik atas ArasyNya.

Namun demikian, masih ada di kalangan umat Islam, yang terpengaruh dan dikelirukan oleh “penyakit” falsafah dan hukum akal dalam permasalahan ‘aqiedah, dengan sikap keras dan kedegilan mereka tetap berpegang dengan yang sebaliknya, lalu berhujjah dengan hujjah berikut untuk menolak ajaran kepercayaan yang telah dijelaskan oleh Allah dan RasulNya serta golongan ilmuwan terkemuka yang sedia dikenali dengan sifat wara‘ dan ketaqwaan serta ilmu yang berpanduan dengan kebenaran


Marilah kita bertanya kepada diri kita sendiri:


1) Apakah kita mengenali Allah dan mengetahuiNya lebih daripada DiriNya Sendiri ? 

Jika seseorang tega menjawab “Ya!”, maka ia telah katakan bahawa ia lebih tahu daripada Allah dan itu adalah mustahil. Hanya orang yang tidak beriman lagi sesat akan berkata demikian. Seorang Muslim yang beriman dengan sebenarnya akan menjawab:“Tentunya tidak!” Maka seorang yang benar imannya berkeyakinan bahawa Allah Maha Mengetahui, ia tidak tahu apa-apa kecuali yang Allah kurniakan kepadanya sebagai pengetahuannya. Maka bilamana yang kita bicarakan ini adalah berkenaan Dzat Allah, maka kita hanya mengetahui apa yang Allah beritakan kepada kita dan apa yang tidak diberitakanNya mustahil dapat kita ketahui. Maka dalam hal ini, semestinya dan selayaknya kita terima sahaja apa yang Allah beritakan kepada kita mengenai Diri atau DzatNya .

“Katakanlah wahai Muhammad: Apakah kamu lebih mengetahui atau Allah?!” (al-Baqarah:140)


2) Bolehkah kita menolak Firman Allah dan penjelasanNya ? 

Orang yang benar imannya akan menjawab: “Tidak boleh!”. Walau satu ayat, malah satu huruf sekalipun, tidak akan ditolak oleh seorang Muslim. Menolak walau satu huruf sudah menjadikan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan masuk dalam rumpun orang yang kufurkan al-Qur’an. Justeru itu, kita mesti terima Firman Allah dan keteranganNya mengenai DzatNya . Dia yang Mengetahui sedangkan kita tidak tahu kecuali apa yang diberitakan olehNya kepada kita berkenaan DzatNya, di mana Dia dan begitu pula segala Sifat-sifatNya.

“Dan Allah jualah Yang Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak tahu.” (al-Baqarah:216)


3) Bolehkah kita gunakan akal kita atau pendekatan falsafah untuk menentukan itu dan ini berkenaan Sifat-sifat Allah ?

Sejak awalnya, kita tidak mengetahui apa-apa mengenai yang Ghaib, apa itu “iman”, orang-orang zaman silam, hukum-hukum Islam, berkenaan para Malaikat, Iblis dan Syaitan, Syurga dan Neraka, pahala dan dosa, kecuali melalui WahyuNya dan para utusanNya. Oleh kerana itu, kita tidak boleh menggunakan akal kita semata-mata untuk memperbincangkan dan memikirkan segala perkara itu tadi, malah semestinya, kita hanya mengikuti bahkan wajib, untuk kita menuruti keterangan Wahyu dan penjelasan RasulNya .

Allah yang Maha Tinggi berfirman:

“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - al-Qur’an sebagai roh (yang menghidupkan hati) dari Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (al-Qur’an) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan al-Qur’an: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami.” (asy-Syura:52)

Jika Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam sendiri tidak dapat megetahui sesuatu mengenai “Wahyu” ataupun “Iman”, bagaimana mungkin, bahkan mustahil bagi umatnya untuk mengetahui suatu apa pun berkenaan perkara-perkara ini kecuali dengan perantaraan Wahyu yang diterima Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam. Apakah kita lebih mengetahui dari Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam sendiri, untuk menolak apa yang baginda sifatkan Allah dengannya, iaitu Sifat Allah Yang Maha Tinggi, yang berada di atas 7 petala langit, sebagaimana yang telah dijelaskan dengan dalam bahagian “Hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam yang sahih”?

Hakikatnya, orang yang menolak apa-apa sahaja yang Allah telah turunkan dan yang Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam sendiri telah jelaskan berkenaan Sifat-sifat Allah, ia “terlalu pandai” dan akalnya adalah rujukan yang terutama dalam menghukumkan dan menentukan sesuatu, sama halnya seperti Iblis, bilamana ia enggan bersujud, memberi penghormatan kepada Nabi Adam , ia telah gunakan “kepandaiannya” untuk menolak ketentuan dan perintah, menderhakai titah FirmanNya dengan kata-katanya:

“Aku lebih baik darinya. Engkau telah ciptakan aku dari api dan Engkau ciptakannya dari tanah.” (al-A‘raf:12)

Biarlah diketahui bersama bahawa orang yang menolak dan enggan menerima Wahyu keterangan daripada Allah dalam perkara ini, bahawa Allah di atas ArasyNya beristiwa’, di atas semua makhluq ciptaanNya, sebenarnya telah dijangkiti penyakit yang dihidapi sang Iblis kerana Allah telah memperingatkan kita:

“Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.” (al-Baqarah:169)

Maka berwaspadalah, mereka yang enggan menerima Wahyu yang telah jelas dan kata-kata Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam yang suci serta pemahaman yang betul sesuai pemahaman Salafussolih, sebab mereka ini telah menyatakan mengenai Allah dan mengungkapkan kata-kata dusta berikut:

“Allah tidak bertempat, tiada tempat atau arah yang boleh dikaitkan dengan Dzat Allah dan tidak boleh disifatkan Dia di atas atau di dalam ciptaanNya, maka Allah Wujud tak bertempat, الله موجود بلا مكان” tanpa pengetahuan yang jelas, namun tega menolak Wahyu Allah dan ajaran RasulNya shallallahu 'alayhi wasallam.” 

Dengan 3 hujjah ini, selayaknya kita telah bersepakat bahawa kita mesti bergantung dan berpandukan kepada wahyu Allah, baik al-Qur’an mahupun as-Sunnah, dalam perkara ini, yakni “Di mana Allah?” sebab Dia yang paling Mengetahui, kita tidak tahu apa-apa pun mengenaiNya kecuali apa yang diberitakan olehNya kepada kita dan kita tidak boleh menggunakan akal kita yang terbatas jangkauannya untuk memperbincangkan perkara ini dan itulah teladan dan pedoman yang dicontohkan oleh ‘ulama’ terbilang zaman silam khususnya zaman Salafussolih.

Maka di dalam ayat-ayat al-Qur’an yang mulia (sebagaimana di dalam Sifat 'Uluw - Nas-Nas al-Qur'an )

Allah berfirman: “Aku naik ke atas – beristiwa’ di atas – Arasy Ku, di langit, yakni di atas 7 petala langit, Aku yang Maha Tinggi, Aku berada di atas sekalian hamba-hambaKu, segala ciptaan Ku, para malaikat akan naik”

Dan Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam juga telah menyatakan yang sama: “Tuhan kita di langit (yakni atas langit), aku di bawa naik ke langit untuk bertemu dengan Allah pada malam Mi‘raj, aku lihat para malaikat berebutan untuk menjadi yang awal mengangkat doamu itu kepada Allah, Maha Suci Tuhan kita yang Maha Tinggi…”

Maka, kita wajib terima segala keterangan tadi seadanya dan tanpa mentakwilkannya kepada makna lain, apatah lagi menolaknya.


Terjemahan: Ustadz Abu Mazaaya
Sumber: Sifatu ‘Uluw al-‘Aliyi al-‘Afuw

No comments: