Isu tokoh kemerdekaan yang kontroversi
Label: Irsyad-Nasihat
Bila merenung perbalahan politik yang sedang berlaku, entah kenapa tiba-tiba penulis teringatkan rancangan “Law Kaana Bainanaa” (Kalaulah Nabi SAW bersama kita) terbitan Ustaz Ahmad al-Syuqairi.
Amat sedih, perbalahan politik yang berlaku, bukan lagi berkait soal dasar dan manifesto perjuangan, tetapi ia soal akhlak Islam yang digadaikan. Begitu mengharukan, orang-orang yang telah meninggal dunia turut dilibatkan oleh politikus yg rakus, hingga mereka menjadi mangsa dikeji, diperleceh, ditohmah, diungkit tanpa apa-apa keperluan darurat. Allahu Akbar! Dimanakah hilangnya akhlak Rasulullah SAW yang mulia itu? Jika diandaikan Rasulullah SAW bersama, bagaimanakah reaksi Baginda SAW terhadap perbuatan sebegini?
Tanpa mahu menyokong mana-mana parti, tanpa mengira daripada parti mana pun orang yang dicaci itu, jika dia telah meninggal dunia dan masyarakat bersaksi bahawa pada zahirnya dia seorang muslim ketika matinya, maka janganlah maruahnya dirobek-robek selepas kematiannya. Malah perkara ini ditegah dan dilarang sama sekali oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda :
لا تسبوا الأموات فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا
“Janganlah kamu mencaci orang yang telah meninggal dunia, sesungguhnya mereka telah menerima balasan atas apa yang mereka kerjakan (ketika di dunia)”. (Riwayat al-Bukhari)
Lihatlah bagaimana tarbiyah akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW apabila Baginda SAW mendengar orang yang hidup mencaci-maki orang yang telah meninggal dunia.
Al-Hafiz Imam Jalaluddin al-Sayuti dalam kitab al-Luma’ fi Asbab Wurud al-Hadith menukilkan daripada Ibn Sa’ad, Imam Ahmad dan al-Hakim yang mensahihkannya daripada Ibn Abbas, satu riwayat mengenai seorang lelaki yang telah mencaci bapa al-Abbas (mengenai kisah lampau). Dalam satu lafaz menyebut : (Lelaki tersebut) berkata kepadanya (al-Abbas), aku telah melihat Abdul Muttalib bin Hashim dan al-Ghaithalah, bomoh perempuan Bani Sahm, semoga Allah menghimpunkan kedua-duanya di dalam neraka. (Akibat sakit hati dengan perkataan itu) al-Abbas telah menamparnya. (Kabilah orang itu tidak berpuas hati lalu) mereka berkata, "Demi Allah, kami akan menamparnya seperti ia menampar saudara kami!" Hal ini diketahui oleh Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW mengumpulkan kaum muslimin dan naik ke atas mimbar kemudian bersabda, "Siapa orang yang paling mulia di sisi Allah? Mereka menjawab: Engkau, ya Rasulullah! Lalu Baginda bersabda: "(Tahukah kalian) bahawa al-Abbas itu dariku dan aku darinya. Janganlah kalian mengumpat orang-orang yang sudah mati, lalu dengannya akan menyakiti hati orang-orang yang masih hidup".
Al-Sayuti juga mengeluarkan daripada Ibn Sa’ad dan al-Hakim juga telah mensahihkannya, satu riwayat daripada Ummu Salamah yang berkata : ‘Ikrimah bin Abi Jahal telah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa setiap kali dia melalui (jalan) di Madinah, diseru kepadanya : “Ini adalah anak musuh Allah”. Lalu Baginda SAW bersabda dalam khutbahnya : “Manusia itu ibarat logam, mana yang baik dalam jahiliyah, baik juga dalam Islam sekiranya mereka faham (beragama), maka janganlah kamu menyakiti seorang Islam kerana seorang kafir”.
Jika diteliti, kedua-dua riwayat di atas menunjukkan larangan Rasulullah SAW daripada mencaci orang yang telah meninggal dunia walaupun dia adalah seorang kafir. Baginda SAW menegah kerana perbuatan itu boleh membangkitkan kemarahan kaum keluarganya yang masih hidup. Bayangkan jika yang dicaci itu adalah seorang muslim yang sudah pasti berpeluang untuk mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT. Lantaran itu Rasulullah SAW dalam hadith yang lain menyebut:
سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
“Mencaci maki orang muslim itu perbuatan fasiq dan memeranginya adalah perbuatan kufur”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini, maksud dilarang mencaci orang muslim itu, kerana maruah diri seorang muslim adalah terpelihara (haram dicabul) sebagaimana haram darah dan hartanya. Kaedah fiqh juga menyebut :
الأصل براءة الذمة
“Asal seseorang itu adalah suci maruahnya (bebas dari tuduhan, tanggungan dll)”.
Bagi penulis, memang tidak dinafikan, kemungkinan orang yang dicaci itu ada melakukan kesalahan dan kesilapan ketika hidupnya, tetapi dalam banyak keadaan, kesalahan dan kesilapan itu tidak dapat dipastikan, adakah ia disengajakan atau tidak? Apakah niatnya yang sebenar? Tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Allah SWT. Hal ini sama dengan apa yang diungkapkan oleh Baginda SAW:
"يغزو جيش الكعبة فإذا كانوا ببيداء من الأرض يخسف بأولهم وآخرهم".قالت: قلت: يارسول الله، كيف يخسف بأولهم وآخرهم وفيهم أسواقهم ومن ليس منهم!؟ قال: "يخسف بأولهم وآخرهم، ثم يبعثون على نياتهم".
"Ada sepasukan tentera yang hendak memerangi - menghancurkan - Ka'bah, kemudian setelah mereka berada di suatu padang dari tanah lapang lalu dibenamkan (dalam tanah) dengan yang pertama sampai yang terakhir dari mereka semuanya. (Aisyah bertanya): Saya berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah semuanya dibenamkan dari yang pertama sampai yang terakhir, sedang di antara mereka itu ada para pedagang serta ada pula orang yang tidak termasuk golongan mereka tadi (yakni tidak berniat ikut menggempur Ka'bah?) Rasulullah SAW menjawab: Ya, semuanya dibenamkan dari yang pertama sampai yang terakhir, kemudian nantinya mereka itu akan dibangkitkan mengikut niat masing-masing. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, hadith ini menunjukkan niat memberi kesan utama terhadap segala amalan yang akan ditimbang di hari akhirat kelak.
Bermakna, dalam membahaskan isu tokoh-tokoh kemerdekaan yg kontroversi “antara pejuang dan pengkhianat”, penulis lebih cenderung untuk mengembalikan urusan mereka yang terlibat kepada Allah SWT. Tiada yang mengetahui niat sebenar mereka itu kecuali Allah SWT. Silap jika kita mengatakan sejarah boleh membuktikan segala-galanya, bahkan tidak! Ini kerana sejarah itu catatan manusiawi yang tidak pernah luput dari salah dan silap. Tetapi petunjuk wahyu dan hikmah rasul itulah yang sepatutnya menjadi rujukan setiap muslim.
Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni semua pejuang kemerdekaan beragama Islam tanpa mengira siapa dan apa partinya. Diulangi sekali lagi sabda Rasulullah SAW:
...فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا
“…sesungguhnya mereka telah menerima balasan atas apa yang mereka kerjakan (ketika di dunia)”.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 118:
إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
“Jika Engkau mengazab mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu, jika Engkau mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Mulia lagi Maha Bijaksana”.
Al-Fatihah buat semua mereka.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment