Sabda Nabi di dalam hadis,
الْعَهْدُ الَّذِى بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلاَةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
“Perjanjian antara kami dan mereka (orang kafir) adalah salat. Barangsiapa meninggalkannya maka dia telah kafir.” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, An Nasa-i, Ibnu Majah. Dinilai sahih oleh Syaikh Al Albani)
Maknanya salat itu adalah asas yang terpenting setelah akidah. Rukun Islam yang kedua, setelah La Ilaha illa Allah Muhammadur Rasulullah adalah salat. Maka jangan main-main kita menghukum solat orang diterima atau tidak diterima.
Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
( مَنْ بَنَى مَسْجِداً يَبْتَغِي بِهِ وَجْهَ اللهِ بَنَى اللهُ لَهُ مِثْلَهُ فِي الْجَنَّةِ ) وفي رواية لمسلم: ( بَيْتاً فِي الْجَنَّةِ )
“Barangsiapa membina masjid kerana mengharap wajah Allah maka Allah akan membina untuknya yang semisalnya di dalam Syurga.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Dan dalam riwayat Muslim disebutkan dengan lafaz: “Sebuah rumah di dalam syurga.”
Dalam riwayat yang lain Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
( مَنْ بَنَى للهِ مَسْجِداً وَلَوْ كَمَفْحَصِ قَطَاةٍ أَوْ أَصْغَرَ بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتاً فِي الْجَنَّةِ )
“Barangsiapa membina sebuah masjid kerana Allah walau sebesar sarang burung atau lebih kecil dari itu, maka Allah akan membina untuknya rumah di dalam Syurga.” (Riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi dan disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Shahih Al-Jami’).
Ikhlas adalah isu hati manusia. Kita berhak untuk menasihati manusia supaya ikhlas. Tetapi untuk menghukum orang tidak ikhlas, itu bukan kerja kita.
Usamah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu merupakan cucu kesayangan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau merupakan anak kepada Zaid bin Haritsah dengan Ummu Aiman. Dalam hadis riwayat Muslim Usamah bin Zaid menceritakan,
بعثنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في سرية. فصبحنا الحرقات من جهينة. فأدركت رجلا. فقال: لا إله إلا الله. فطعنته فوقع في نفسي من ذلك. فذكرته للنبي صلى الله عليه وسلم. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم” أقال: لا إله إلا الله وقتلته؟” قال قلت: يا رسول الله! إنما قالها خوفا من السلاح. قال” أفلا شققت عن قلبه حتى تعلم أقالها أم لا”. فما زال يكررها علي حتى تمنيت أني أسلمت يومئذ.
Kami pernah diutuskan Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wa sallam dalam satu pasukan perang. Lalu kami sampai di Al-Huruqaat, daerah Juhainah pada waktu subuh. Maka aku temukan seorang lelaki (dari pihak musuh). Dia mengucapkan Laa ilaha illallaah, lalu aku pun menikamnya. Kemudian aku sampaikan hal itu kepada Nabi sallallaahu ‘alaihi wa sallam. Baginda sallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apakah dia telah mengucapkan Laa ilaha illallaah lantas engkau tetap membunuhnya ?” Aku berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia hanya mengucapkannya kerana takut terhadap hunusan pedang”. Baginda bersabda : “Tidakkah engkau belah hati orang tersebut sehingga engkau mengetahui apakah hatinya mengucapkannya atau tidak ?”Baginda terus-menerus mengucapkannya kepadaku hingga aku berangan-angan aku baru masuk Islam pada hari itu” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Mengapa tidak engkau belah hatinya dan lihat hatinya sehingga engkau menghukumnya tidak ikhlas? Bermakna Nabi melarang kita menghukum niat-niat manusia. Nabi melarang kita menghukum keikhlasan niat-niat manusia.
Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
كان رجلان في بني إسرائيل متواخيين ، فكان أحدهما يذنب ، والآخر مجتهد في العبادة ، فكان لا يزال المجتهد يرى الآخر على الذنب ، فيقول : أقصر ، فوجده يوماً على ذنب ، فقال له : أقصر . فقال : خلني وربي ، أبعثت علي رقيباً ؟ فقال : والله لا يغفر الله لك ، أو لا يدخلك [الله] الجنة فقبض أرواحهما ، فاجتمعا عند رب العالمين ، فقال لهذا المجتهد : أكنت بي عالماً ؟ أو كنت على ما في يدي قادراً ؟ وقال للمذنب : اذهب فادخل الجنة برحمتي ، وقال للآخر : اذهبوا به إلى النار
“Dahulu ada dua orang laki-laki bersaudara dari kalangan Bani Israail. Salah seorang di antara mereka sering berbuat dosa dan yang lain rajin beribadah. Orang yang rajin beribadah sentiasa melihat saudaranya melakukan dosa, dan dia pun berkata : ‘Berhentilah (berbuat dosa)’. Pada satu hari, dia kembali mendapatkannya sedang berbuat dosa, maka dia berkata : ‘Berhentilah’. Orang yang berbuat dosa itu berkata : ‘Tinggalkanlah aku bersama Rabbku. Apakah engkau diutus sebagai orang yang selalu mengawasiku ?’ Dia (yang rajin beribadah) pun berkata : ‘Demi Allah, Allah tidak akan mengampunimu’ – atau dia berkata : ‘Allah tidak akan memasukkanmu ke dalam syurga. Lalu Allah mewafatkan mereka berdua dan kemudian berkumpul di sisi Rabbul-‘Aaalamiin (Allah). Allah berfirman kepada orang yang rajin beribadah : ‘Apakah engkau mengetahui tentang Aku? Ataukah engkau mempunyai kemampuan atas apa-apa yang ada di tangan-Ku ?’ Allah berfirman kepada orang yang berbuat dosa : ‘Pergi dan masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Dan kemudian berfirman kepada yang lain (rajin beribadah) : ‘Giringlah ia ke dalam neraka’. (riwayat Ahmad, Abu Dawud, dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani)
Apa pengajaran dari hadis ini? Pengajarannya bukan boleh buat maksiat, pengajaran dari hadis ini adalah larangan kita menghukum orang. Larangan kita terlibat dalam menilai ibadat orang.
No comments:
Post a Comment