Saturday, April 11, 2015

Asas Ilmu Hadis.. Telegram by BroSharief

Nota 01.08.10 Mengenal Kitab-kitab Hadits

Susunan: BroSyarief

MUWATTA MALIK



Nama Muwatta diberikan di atas dua sebab:

1. Ia dari kata وَطَّأَ (Wattho'a) yang bermaksud سَهَّلَ yakni, memudahkan. Memudahkan orang ramai menerima manfaat dari hadits-hadits di dalamnya.

2. Ia adalah hasil وَاطَأَ kesepakatan para ulama Madinah pada waktu itu, mengiktiraf himpunan hadits tersebut oleh Imam Malik.

Imam Malik diberi julukan Imam Dar al-Hijrah. Nama penuh beliau Malik ibn Anas ibn Abi Amir al-Asbahi.

Beliau dilahirkan di Madinah pada tahun 93H, dan beliau membesar di Madinah, dan kemudian meninggal pada tahun 179H.

Di antara guru-guru beliau:

01. Nafi’ ibn Abu Nu’aim
02. Muhammad bin Muslim bin Syihab az-Zuhri
03. Abdullah bin Dinar
04. Muhammad Yahya al-Ansari
05. Abu Hazim Salmah al-Dinar
06. Yahya bin Sa’ad
07. Hisham bin Urwah

Dan banyak lagi.

Dia dikatakan menulis Muwattha selepas diminta oleh Khalifah al-Mansur ketika menunaikan haji, dan beliau mengambil masa 40 tahun untuk menyiapkannya, hasil saringan kepada 100 000 hadits yang diriwayatkan oleh beliau.

Sebahagian ulama menganggap kitab beliau sebagai di antara yang terawal. Dan ia diiktiraf oleh asy-Syafie sebagai kitab paling sahih selepas al-Quran (kerana pada waktu Imam asy-Syafie, masih belum wujud Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim). Menurut Dr Abullayts, kedudukan Muwatta menurut jumhur ulama hadits, adalah selepas Sahih Muslim.

Semasa zaman beliau, pembukuan hadits masih di lagi di peringkat awal. Di mana mereka tidak terlalu fokus kepada penyusunan bab, tetapi Muwatta telahpun disusun mengikut tertib bab dan topik. Adapun jumlah keseluruhan hadits di dalam Muwatta adalah sebanyak 1843 hadits.

Di antara keistimewaan kitab ini:

01. Di antara kitab yang terawal
02. Tidak mempunyai muqaddimah
03. Disusun mengikut bab-bab fiqh/
04. Ia penuh dengan fatwa-fatwa Imam Malik.

Di antara kitab-kitab yang mensyarahkan Muwatta Malik ialah:

01. al-Tamhid li ma fi al-Muwatta minal Ma’ani wa al-Asaanid, oleh Ibn Abdil Barr (w.463H)
02. Tanwir al-Hawalik ‘ala Muwatta Malik, oleh as-Suyuti (w.911H)
03. Syarh al-Zarqani, oleh al-Zarqani (w.1122H)
04. al-Maswa, oleh Syah Waliyullah ad-Dihlawi (w.1176H)

Dan banyak lagi.

walLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Muhammad Abullayts KhairAbaadi. 

Nota untuk hari ini berkenaan Sunan/Musnad ad-Darimi.
5:21:01 PM
#210315 Kelas (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 01.08.11 Mengenal Kitab-kitab Hadits

Susunan: BroSyarief

SUNAN AD-DARIMI

Ia dikenal dengan nama as-Sunan. Ada juga yang menyebutkan namanya Musnad, kerana hadits-hadits di dalamnya ditulis dengan sanad.

Nama penulisnya pula ialah Abdullah ibn Abdul Rahman ad-Darimi as-Samarqandi.

Dilahirkan pada tahun 171H, dan meninggal pada tahun 255H. Dia telah mengembara ke Mesir, Syam, Iraq, Mekah dan Madinah.

Di antara guru-guru beliau ialah:

01. Yazid ibn Harun
02. Ya'la ibn 'U'baidilLah
03. Ja'far ibn Aun
04. 'UbaydilLah ibn 'Abdul Majid
05. Muhammad ibn Abi Bakr
06. Wahab ibn Jarir
07. Hashim ibn al-Qasim
08. Ahmad ibn Ishaq
09. Abu al-Mughirah al-Khaulani

Dan ramai lagi.

Jumlah keseluruhan hadits di dalam Sunan ad-Darimi adalah sebanyak 3503 hadits, disusun dalam 24 Kitab (Topik Utama) dan 1582 Bab (Sub-topik).

Di antara keistimewaan Sunan ad-Darimi:

01. Kitab ini dimulakan dengan muqaddimah.
02. Ia disusun mengikut bab-bab fiqh.
03. Ia lebih dikenal di kalangan ulama hadits sebagai Musnad.
04. Susunan kitab dan bab yang baik.
05. Sikitnya jumlah periwayat-periwayat yang lemah bagi hadits-hadits di dalamnya.

Dan tidak terdapat satupun syarah kepada Sunan atau Musnad ad-Darimi kecuali satu, iaitu Fathul Mannan Syarh wa Tahqiq Kitab ad-Darimi, karangan Nabil al-Ghumari.

walLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Muhammad Abullayts KhairAbaadi. 



AsSalaamu 'alaikum, berikut adalah nota terakhir untuk Pengenalan kepada kitab-kitab hadits yang utama, iaitu kitab yang terakhir di bawah Kutub Tis'ah, Musnad Ahmad.

Namun begitu, ia tak bermakna kitab-kitab hadits yang lain tidak utama, kerana terdapat banyak lagi kitab-kitab hadits, seperti Sahih Ibn Hibban, Mustadrak al-Hakim, dan banyak lagi.

In Sya Allah, dari semasa ke semasa, jika ada kesempatan kita akan buat selingan dengan nota-nota tambahan berkaitan kitab-kitab hadits yang lain.
11:46:49 AM
Nota seterusnya, Musnad Ahmad.
11:46:57 AM
#230315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 01.08.12 Mengenal Kitab-kitab Hadits

Susunan: BroSyarief

MUSNAD AHMAD

Dinamakan Musnad, kerana hadits-haditsnya disusun mengikut tertib nama sahabat sebagai periwayat yang tertinggi.

Penulisnya, bernama Ahmad ibn Hanbal asy-Syaibani, imam mazhab Hanbali.

Beliau dilahirkan pada tahun 164H di Baghdad, dan meninggal di Baghdad pada tahun 241H.

Beliau telah mengembara ke Yaman, Mesir, Syam dan banyak tempat lain, sehingga berjaya mengumpul dan menghafal sekitar 1,000,000 hadits.

Di antara guru-guru beliau ialah:

01. Husyaim ibn Abi Basyir
02. Sufyan ibn ‘Uyainah
03. al-Qadhi Abu Yusuf
04. Muhammad ibn Idris say-Syafi'i
05. Abdullah ibn al-Mubarak
06. Waki’ ibn al-Jarrah
07. Abu Bakr ibn ‘Ayyash

Dan ramai lagi.

Kitab beliau, Musnad Ahmad, mengandungi 27,100 hadits (mengikut kiraan Dar Ihya at-Turats al-‘Arabi) dan beliau meriwayatkan hadits-hadits tersebut dengan sanad yang bersambung kepada 1,056 sahabat.

Menurut Syaikh Ahmad asSa’atiy:

Hadits-hadits di dalam Musnad Ahmad terbahagi kepada beberapa kategori:

01. Hadits-hadits yang diriwayatkan oleh anak Imam Ahmad, iaitu Abdullah, yang mendengarkan hadits-hadits tersebut secara langsung dari Imam Ahmad. Jumlah hadits ini adalah majoriti melebihi 3/4 dari keseluruhan hadits-hadits.
02. Hadits-hadits yang didengarkan oleh Abdullah dari ayahnya dan juga dari selain ayahnya. Jumlah hadits yang sifat sanadnya sebegini adalah sangat sedikit.
03. Hadits-hadits yang Abdullah riwayatkan dari selain ayahnya, dan dinamakan Zawaiad Abdullah, jumlahnya agak signifikan.
04. Hadits-hadits yang Abdullah tidak bacakan atau dengarkan dari ayahnya, tapi dia menjumpainya tertulis di dalam kitab ayahnya dengan tulisan tangan ayahnya sendiri.
05. Hadits-hadits yang diriwayatkan oleh al-Qathi’iy, di antara periwayat dalam Musnad Ahmad, dan jumlah haditsnya paling sedikit dan disebut sebagai Zawaaid al-Qathi’iy.

Di antara keistimewaan Musnad Ahmad:

01. Susunannya mengikut nama-nama sahabat mengikut keutamaan mereka. Bermula dengan 10 sahabat yang dijanjikan syurga, ahli keluarga Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, dan lain-lain.
02. Sangat banyak periwayatannya.
03. Ianya paling sahih di kalangan kitab-kitab Musnad.

Sementara kitab-kitab yang mensyarahkan Musnad Ahmad, di antaranya:

01. Bulugh al-Amaani min Asrar al-Fath al-Rabbaniy, oleh Ahmad as-Saa’aatiy
02. al-Qaul al-Musaddad fi al-Zab ‘an al-Musnad lil-Imam Ahmad

walLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Muhammad Abullayts KhairAbaadi. 


#240315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 01.09.01 Mengenal al-Riwayah, al-Rawi dan al-Marwi 

Susunan: BroSyarief 

AL-RIWAYAH (الرواية) 

Secara bahasa, al-Riwayah berasal dari kata akar رَوَى - يَرْوِي yang bermaksud menukilkan kata-kata dari seseorang. 

Secara teknikal di dalam ilmu hadits, ia merujuk kepada nukilan hadits dari orang yang disandarkan padanya hadits tersebut, dengan bentuk-bentuk lafaz pengambilan hadits (صِيَغْ الأَدَاءْ) seperti Haddatsana (حَدَّثَنَا), yang bermaksud: ’(Dia) telah menceritakan kepada kami’, atau Akhbarana (أَخْبَرَنَا), yang bermaksud: ‘(Dia) telah mengkhabarkan kepada kami’, atau Sami’tu (سَمِعْتُ), yang bermaksud: ‘Aku telah mendengarkan..’ atau sekadar ‘An (عَنْ), yang bermaksud: ‘daripada..’, dan banyak lagi contoh bentuk lafaz yang digunakan. 

Terdapat dua jenis periwayatan: 

1. Periwayatan dengan Lafaz (الرِّوَيَةُ بِاللَّفْظِ) 

Periwayatan ini berlaku dengan menukilkan lafaz secara tepat seperti didengarkan dari gurunya tanpa sebarang perubahan, penggantian, penambahan, pengurangan dan lain-lain dalam lafaz teks hadits. 

2. Periwayatan dengan Makna (الرِّوَيَةُ بِالْمَعْنَى) 

Periwayatan ini pula berlaku dalam keadaan sebahagian atau keseluruhan lafaz teksnya berbeza, tetapi dalam masa yang sama, masih mengekalkan makna yang sama, tanpa ada penambahan atau pengurangan. 

WalLaahu a'lam 

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 


#250315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 01.09.02 Mengenal al-Riwayah, al-Rawi dan al-Marwi

Susunan: BroSyarief

KAEDAH PERIWAYATAN HADITS (طُرُق تَحَمُّل الحديث وأَدَأئِه)

Topik ini akan menyentuh bentuk-bentuk periwayatan berserta gaya lafaz yang disebutkan.

Terdapat 8 kaedah yang utama dalam periwayatan hadits:

01. as-Sama’ (السَّمَاع) yang bermaksud perawi mendengar langsung dari bacaan hadits oleh syaikh, sama ada bacaan itu dari hafalan syaikh atau dari kitab tulisannya. Di antara contoh lafaznya: Sami’tu (سمعت), atau Haddatsani (حدثني), atau Akhbarani (أخبرني), atau Zakara li (ذكر لي), dan banyak lagi. Dan bentuk ini merupakan yang paling utama di sisi jumhur.

02. al-Qiraah (القِرَاءَة) yang bermaksud perawi membacakan hadits kepada syaikh yang mendengar, atau perawi mendengarkan seorang perawi lain membacakan hadits kepada syaikh yang mendengar di dalam satu majlis yang sama; sama ada dari hafalan atau kitab tulisan syaikh. Di antara contoh lafaznya: Qara’tu ‘ala Fulan (قَرَأْتُ عَلَى فُلَان), atau Quri’a ‘alaihi wa ana asma’ (قُرِئَ عَلَيهِ وأَنَا أَسْمَع) dan terdapat ramai ulama hadits yang menggunakan lafaz Akhbarana (أخبرنا) untuk bentuk periwayatan ini.

03. al-Ijaazah (الإِجَازَة) yang bermaksud keizinan (الإِذن). Contohnya, seorang syaikh menyebutkan kepada salah seorang muridnya: 'Aku mengijazahkan kepadamu meriwayatkan Sahih al-Bukhari dariku’. Di antara lafaz yang disebutkan oleh perawi: Ajaaza li fulan (أَجَازَ لي فلان) atau Haddatsana Ijaazatan (حدثنا إجأزةً), dan banyak lagi. Terdapat sebahagian ulama hadits mengkhususkan lafaz Anba’ana (أنبأنا) untuk bentuk periwayatan ini.

04. al-Munawalah (المناولة) yang bermaksud memberi (الإِعْطَاء), di mana syaikh akan memberikan kitabnya kepada perawi dan berkata, ‘Ini riwayatku dari fulan, maka riwayatkanlah ia dariku..’. Lafaz yang akan disebutkan oleh perawi, contohnya: Naawalani (ناولني) atau Haddatsana munaawalatan (حدثنا مناولة), dan banyak lagi.

05. al-Kitabah (الكتابة) yang bermaksud syaikh menuliskan hadits kepada perawi secara berhadapan atau tidak, sama ada dengan tulisan dia sendiri atau dia mengarahkan muridnya yang lain menuliskannya. Lafaz yang disebutkan perawi, contohnya: Kataba ilaiya fulan (كتب اليَّ فلان) atau Akhbarani kitabatan (أخبرني كتابة), dan banyak lagi.

06. al-I’lam (الإعلام) yang bermaksud syaikh memberitahu perawi supaya mendengarkan bacaan hadits ini atau kitab ini. Lafaz yang akan disebutkan perawi, contohnya: A’lamani Syaikhi (أعلمني شيخي).

07. al-Washiyyah (الوصية) yang bermaksud syaikh mewasiatkan kitabnya kepada muridnya (aka perawi) supaya meriwayatkan hadits darinya, sebelum dia meninggal atau bermusafir. Lafaz yang disebutkan perawi, contohnya: Awsho ilaiya fulan bi kaza (أوصى إليَّ فلان بكذا) atau Haddatsani fulan washiyyatan (حدثني فلان وصية), dan banyak lagi.

08. al-Wijaadah (الوجادة) yang bermaksud perawi menjumpai hadits-hadits di dalam buku atau lembaran, dan mengenal itu tulisan syaikhnya, lalu meriwayatkannya tanpa dia mendengarkan secara langsung dari syaikhnya dan tanpa diijazahkan. Lafaz yang disebutkan perawi, contohnya: Wajadtu kitab fulan bi khoththihi (وجدت كتاب فلان بخطه), atau Qara’tu bi khothi fulan kaza (قرأت بخط فلان كذا).

WalLaahu a'lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 



Nota 01.09.03 Mengenal al-Riwayah, al-Rawi dan al-Marwi

Susunan: BroSyarief

AL-RAWI (الراوي)

al-Rawi bermaksud periwayat atau penukil.

Secara teknikal, ia merujuk kepada orang yang meriwayatkan hadits atau atsar dengan sanad yang bersambung sehingga kepada orang yang mengucapkan.

AL-MARWI (المروي)

al-Marwi pula merujuk kepada apa yang diriwayatkan atau dinukilkan.

Secara teknikal ia merujuk kepada teks hadits atau atsar yang diriwayatkan oleh periwayat dengan sanadnya.

JENIS KITAB HADITS

01. al-Jawami’ (الجوامع) - kata ganda bagi al-Jaami’ (الجامع) : Susunan tertib di dalamnya meliputi kesemua bab-bab agama. Cth: Jami al-Sahih, Jami’ at-Tirmizi, dll.

02. al-Sunan (السنن) : Kebiasaannya disusun tertib di dalamnya meliputi bab-bab fiqh sahaja. Cth: Sunan Abu Dawud, Sunan an-Nasaie, dll.

03. al-Muwatthoat (الموطآت) - kata ganda bagi al-Muwattho (الموطأ) : Menghimpunkan bab-bab fiqh juga. Berbeza dengan sunan, ia juga mengumpulkan kata-kata sahabat dan tabi’in. Cth: Muwattho’ Malik, Muwatto’ say-Syaibani, dll.

04. al-Mushannafaat (المصنفات) - kata ganda bagi al-Mushannaf (المصنف) : Penyusunan dan isi sama seperti Muwattho, cuma nama sahaja berbeza. Cth: Mushonnaf Abd ar-Razzaq, Mushonnaf Ibn Abi Syaibah, dll.

05. al-Masanid (المسانيد) - kata ganda bagi al-Musnad (المسند) : Disusun mengikut tertib nama sahabat yang meriwayatkan, biasanya bermula mengikut keutamaan sahabat. Cth: Musnah Ahmad, Musnad at-Thoyalisi, dll.

06. al-Ma’ajim (المعاجم) - kata ganda bagi al-Mu’jam (المعجم) yang juga bermaksud kamus : Disusun mengikut nama sahabat, tetapi mengikut tertib huruf dalam kamus. Cth: Mu’jam al-Kabir li at-Thabrani.

07. al-Mustakhrajat (المستخرجات) - kata ganda bagi al-Mustakhraj (المستخرج) : Penulis mengumpulkan hadits dari salah satu kitab hadits, dan ditakhrijkan hadits-hadits dengan sanad penulis sendiri yang bersambung dengan sanad penulis asal, sama ada bertemu pada guru penulis asal atau siapa sahaja di atasnya, malah sahabat sekalipun. Cth: Mustakhraj al-Ismaili ‘ala Sahih al-Bukhari, Mustakhraj Abu Nu’aim ‘ala Sahihayn, dll.

08. al-Mustadrakat (المستدركات) - kata ganda bagi al-Mustadrak (المستدرك) : Penulis mengumpulkan hadits-hadits dari salah satu atau lebih kitab-kitab hadits yang kemudian ditambah ke atasnya apa yang tertinggal, dengan syaratnya. Cth: Mustadrak ‘ala Sahihayn li al-Hakim, di mana Imam al-Hakim mengumpulkan hadits-hadits yang memenuhi syarat sahih Bukhari dan Muslim, tapi tidak dimuatkan di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

09. al-Ajza’ al-Haditsiyyah (الأجزاء الحديثية) - kata ganda bagi al-Juz’ (الجزء), yang bermaksud bahagian : Kitab yang dihimpun di dalamnya hadits-hadits salah seorang dari sahabat, atau seseorang dari kalangan periwayat, atau yang dikumpul atas permintaan tertentu, atau keadaan tertentu. Cth: Juz’ Hasan ibn ‘Urfah, Juz Raf’u al-Yadain li al-Bukhari, dll.

10. al-Fawaid al-Haditsiyyah (الفوائد الحديثية) : Terhimpun pada hadits-hadits yang pelik perkataan-perkataannya. Cth: al-Fawaid al-Sammuwayh li al-‘Abdi, al-Fawaid li al-Razi

11. al-Amali al-Haditsiyyah (الأمالي الحديثية) : Hadits-haditsnya ditulis dari bacaan guru-guru mereka kepada mereka. Cth: al-Amali li Abi ‘Abdillah al-Mihaamali, al-Amaali li Abi Thohir al-Baghdadi, dll.

WalLaahu a'lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 



5:12:49 PM
#270315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 01.10.01 Mengenal Ilmu tentang Periwayat (علم الرواة)

Susunan: BroSyarief

ILMU TARIKH AR-RUWAAH (علم تاريخ الرواة)

Ini ada pecahan ilmu hadits dalam penilaian terhadap periwayat yang rumit dan terperinci.

Secara umumnya, ia merujuk kepada penjelasan tentang hal-ehwal periwayat, seperti bila mereka lahir dan wafat, siapakah guru-guru mereka dan bila mereka bertemu dan mendengarkan dari guru-guru tersebut, siapa murid-murid mereka dan negara-negara yang mereka masuki, perjalanan rehlah mereka, bila mereka memasuki daerah-daerah yang berbeza dan banyak lagi.

Para ulama menggunakan ilmu ini untuk mengetahui benar atau tidak meriwayatkan dari guru sekian, sama ada sanadnya bersambung atau tidak, sehingga mereka dapat mengenal pasti siapa periwayat yang berbohong, dan banyak lagi keutamaan dari ilmu Tarikh ar-Ruwwah.

Hasil dari fokusnya ulama kepada ilmu ini, menyebabkan banyak penulisan berkenaan hal-ehwal periwayat, dalam pelbagai bentuk, sama ada ianya tentang sahabat sahaja, atau khusus tentang periwayat yang tsiqah sahaja, atau periwayat dha’if sahaja, atau periwayat mengikut peringkat-peringkat tobaqat tertentu, dan banyak lagi.

Dan antara kitab rujukan utama dalam bab ini, adalah:

01. al-Kamal fi Asma ar-Rijal, karangan al-Maqdisi (w.600H)
02. Tahzib al-Kamal fi Asma ar-Rijal, karangan al-Dimasyqi (w.742H)
03. Tahzib at-Tahzib, karangan Ibn Hajar (w.852H)
04. Taqrib at-Tahzib, karangan Ibn Hajar, meringkaskan yang sebelumnya.
05. Ta’jil al-Manfa’ah bi Zawaid Rijal al-Aimmah al-Arba’ah, karangan Ibn Hajar juga.
06. Ma’ani al-Akhyar fi Rijal Ma’ani al-Aatsar, karangan al-‘Aini

WalLaahu a'lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 



#300315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 01.10.02 Mengenal Ilmu tentang Periwayat (علم الرواة) 

Susunan: BroSyarief 

ILMU AL-JARH WAT TA’DIL (علم الجرح والتعديل)

Ilmu ini juga antara ilmu yang sangat mendalam. Ia melibatkan komentar para ulama hadits terhadap para periwayat hadits, yang kemudiannya akan mempengaruhi kualiti sanad dan penerimaan atau penolakan terhadap sesuatu hadits. 

Secara umumnya, ia terangkum dalam dua bahagian yang utama, iaitu: 

1) al-Jarh (الجرح) 

Ia berasal dari perkataan al-Jurh (الجرح) yang bermaksud mencederakan atau melukakan, menggunakan pisau contohnya, pada fizikal tubuh badan. Adapun al-Jarh, ia berfungsi pada lisan atau bahasa badan, yang ‘melukakan' menggunakan lidah. 

Secara teknikal, ia merujuk kepada komentar negatif terhadap sifat dan kredibiliti periwayat, sama ada (i) dari sudut personalitinya, sama ada dia pembohong, pelaku bid’ah, tidak dikenali, pelaku maksiat, dll; atau (ii) dari sudut ingatannya, sama ada dia buruk hafalannya, banyak silap, nyanyuk selepas umur sekian, dll. 

Sebahagian orang bertanya, bukankah ini mengumpat? Ya, ianya mengumpat, iaitu mengatakan tentang seseorang yang dia pasti tak suka. Tapi ianya pada kategori mengumpat yang dibenarkan, kerana tujuannya untuk memelihara ketulenan hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam. 

2) at-Ta’dil (التعديل) 

Ia bermaksud menegakkan dan menguatkan sesuatu. 

Secara teknikal ia merujuk kepada komentar positif terhadap sifat dan kredibiliti periwayat, sama ada (i) dari sudut personaliti, sama ada dia seorang yang dipercayai, soleh, dll; atau (i) dari sudut hafalan, dengan contoh pujian sangat baik hafalannya, dll. 

Di antara rujukan-rujukan bagi memahami ilmu al-Jarh wat-Ta’dil ialah: 

01. Qa’idah al-Jarh wat Ta’dil, karangan as-Subki (w.771H) 
02. al-Raf’u wat Takmil fi al-Jarh wat Ta’dil, karangan al-Lakwani (w.1304H) 
03. al-Jarh wat Ta’dil, karangan al-Qasimi (w.1333H) 
04. Dhowabit al-Jarh wat Ta’dil, karangan ‘Abd al-‘Aziz ‘Abd al-Latif (w.1421) 

Dan banyak lagi. 

WalLaahu a'lam 

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 


Nota 01.11.01 Mengenal Sahabat & Tabi’in 


Susunan: BroSyarief 

SAHABAT (الصحابي) Bhg. 01 

Definisi sahabat secara teknikal telah kita sebutkan sebelum ini, iaitu, ’Sesiapa yang bertemu dengan Nabi sallalLahu ‘alaihi wa sallam dalam keadaan Islam, kemudian mati dalam keadaan Islam, walaupun pernah murtad’. 

Mengenal sahabat merupakan satu topik penting untuk difahami, apa lagi untuk membezakan antara mereka dengan generasi-generasi selepas mereka, khususnya Tabi’in. Kerana ia akan mengelakkan seseorang dari tersalah ketika menghukum ke atas hadits. 

Bagaimana para sahabat dikenal-pasti sebagai sahabat Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam: 

1. Mutawatirnya sumber yang menyebut tentang sahabat tersebut, seperti Khulafa ar-Rasyidin, 10 sahabat yang dijanjikan syurga, dan ramai lagi. 
2. Populariti sahabat tersebut yang mana ianya tak sampai tahap mutawatir. 
3. Makluman sahabat Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam sendiri yang fulan adalah sahabat. 
4. Makluman dari Tabi’in yang tsiqah yang mengatakan fulan adalah sahabat. 
5. Periwayatan fulan dari Nabi dengan jelas terbukti dia mendengarkan secara langsung. 

Kredibiliti personaliti (العدالة) para sahabat disepakati oleh para ulama, menyebabkan mereka tidak dikomentari oleh ulama hadits untuk memberi pengaruh kepada penilaian sanad. 

Ini kerana mereka telah diiktiraf oleh Allah sendiri sebagaimana disebutkan di dalam al-Quran, "Allah redha kepada mereka, dan mereka turut redha kepadaNya” (at-Taubah:100), “Sungguh Allah telah redha kepada orang-orang yang beriman itu, saat mereka berbaiah kepadamu di bawah pohon itu” (al-Fath:18) dan banyak lagi ayat-ayat yang lain. 

Adapun dalil dari hadits-hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam juga turut banyak, seperti, “Sebaik-baik kurun adalah kurunku (bersama para sahabat), dan kemudian yang mengikuti mereka (yakni, tabi’in), dan kemudian yang seterusnya (yakni, tabi’ taabi’in)” [HR al-Bukhari & Muslim], juga hadits ini, “Jangan kalian mencaci sahabatku. Demi Yang jiwaku di tanganNya, seandainya salah seorang dari kalian bersedekah emas sebesar Uhud, tak akan pernah menyamai satu bekas infaq mereka, bahkan tidak separuhnya” [HR al-Bukhari & Muslim]. 

Dan secara rasionalpun, kita katakan, jika para sahabat tidak diiktiraf kredibiliti mereka, ini bercanggah dengan sifat agama yang dikatakan rahmat seluruh alam. Sedangkan yang berada di sekeliling Nabi sallallaahu ‘alaihi wa sallam adalah mereka. Dan hanya merekalah faktor penyambung utama kepada tersebarnya kefahaman agama sehingga kita dan generasi seterusnya dapat menikmati agama ini. 

(bersambung)

WalLaahu a'lam 

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 


#010415 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 01.11.02 Mengenal Sahabat & Tabi’in 

Susunan: BroSyarief 

SAHABAT (الصحابي) Bhg. 02 

Jumlah keseluruhan sahabat tidak terhitungkan, kerana tiada sebarang senarai dibuat menghimpunkan nama-nama para sahabat kesemuanya. 

Sehinggakan Ka’ab menyebutkan, “Dan para muslim bersama Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam sangat ramai. Tidak ada yang dapat memuatkannya dalam satu kitab atau menghafalnya” [HR al-Bukhari & Muslim] 

Namun begitu, ada ulama yang menukilkan jumlah sahabat di atas ijtihad mereka seperti Abu Zur’ah yang mengatakan jumlah sahabat seramai 114,000 orang. 

Dikatakan bahawa semua sahabat meninggal sebelum 100H, dan sahabat yang terakhir meninggal adalah Abu at-Tufayl ‘Amir al-Laytsi pada 100H. 

Di kalangan para sahabat, berikut disenaraikan turutan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadits: 

01. Abu Hurayrah - 5374 hadits 
02. 'Abdullah ibn ‘Umar - 2630 hadits 
03. Anas ibn Malik - 2286 hadits 
04. ‘Aisyah - 2210 hadits 
05. ‘Abdullah ibn ‘Abbas - 1660 hadits 
06. Jabir ibn ‘Abdillah - 1540 hadits 

Dan seterusnya. 

Di antara kitab-kitab yang menceritakan perihal para sahabat adalah: 

01. al-Isti’ab fi Ma’rifati al-Ashab, karangan Ibn Abd al-Barr
02. Usud al-Ghobah fi Ma’rifati as-Sohabah, karangan Ibn al-Atsir
03. al-Isobah fi Tamyiiz as-Sohabah, karangan Ibn Hajar 

WalLaahu a'lam 

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 




#020415 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 01.11.03 Mengenal Sahabat & Tabi’in 

Susunan: BroSyarief 

AT-TAABI’I (التابعي) 

Secara bahasa, ia bermaksud mengikuti atau menuruti. Secara teknikal, ia merujuk kepada generasi selepas para sahabat, yang bertemu dengan sahabat dalam keadaan dia muslim dan mati dalam keadaan muslim, walaupun pernah murtad dan kembali kepada Islam. 

Golongan tabi’in juga mempunyai kelebihan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul, kerana dekatnya mereka kepada para Sahabat raadhiyalLaahu ‘anhum ajma’in. 

Firman Allah ‘azza wa jalla (terjemahannya), “Dan orang-orang yang terdahulu dan lebih awal, di kalangan Muhajirin dan Ansar, dan YANG MENGIKUTI mereka dengan baik..” [at-Taubah(9):100]

Dan juga sabda baginda Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, “Sebaik-baik kurun adalah kurunku (bersama para sahabat), dan kemudian yang mengikuti mereka (yakni, tabi’in), dan kemudian yang seterusnya (yakni, tabi’ taabi’in)” [HR al-Bukhari & Muslim] 

Sebagaimana ramainya para sahabat, jumlah tabi’in juga sangat ramai dan tidak dapat dihitung jumlahnya dengan tepat. 

Mereka kebiasaannya dibahagikan kepada tiga peringkat, (i) Kibar Taabi’in atau Tabi’in Kubro, yang banyak riwayat terus dari sahabat, (ii) Wast at-Tabi’in, yang banyak meriwayatkan dari sahabat dan kibar tabi’in, dan (iii) Sighar at-Tabi’in, yang banyak meriwayatkan dari sesama Tabi’in dan sedikit dari Sahabat. 

Di antara tulisan-tulisan menyebut tentang golongan atTabi’in: 

01. Ma’rifatu at-Tabi’in, karangan Abu al-Muthorrif (w.402H)
02. Talqih Fuhum al-Atsar, karangan Ibn al-Jawzi (w.597H) 
03. Jannatu an-Naadzirin fi Ma’rifatu at-Tabi’in, karangan Muhibuddin al-Baghdadi (w.643H), dan lain-lain. 

AL-MUKHADRAM (المخدرم) 

Secara bahasa ia mempunyai beberapa makna, antaranya menjadikan sesuatu di antara dua keadaan. Contohnya: Penyair mukhadram, iaitu mereka yang sempat hidup dalam era jahiliyah dan kemudian masuk Islam, jadi hidupnya di antara jahiliyah dan islam. 

Adapun secara teknikal, menurut ulama hadits, Mukhadram merujuk kepada mereka yang memeluk Islam semasa Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam masih hidup, namun tak berkesempatan menemuinya. 

Imam Muslim menyebutkan jumlah mereka seramai 30 orang, dan sebahagian ulama lain mengatakan jumlah mereka sekitar 40 orang. 

Di antara golongan al-Mukhadram ialah al-Aswad ibn Yazid an-Nakhaie, ‘Amr ibn Maymun, Sa’ad ibn Iyas, Syuraih ibn Haani’ dan lain-lain. 

WalLaahu a'lam 

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 



#030415 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.01 Pembahagian Kategori Hadits 

Susunan: BroSyarief 

Secara umumnya, pembahagian kategori hadits boleh dilihat dari 3 perspektif berikut: 

A. Perspektif Sumber Asal (المصدر), yang terbahagi kepada 4, iaitu: 

01. Qudsi (قدسي) - Sumbernya : Allah subhanahu wa ta’ala 
02. Marfu’ (مرفوع) - Sumbernya : Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam 
03. Mawquf (موقوف) - Sumbernya : Tabi’in 
04. Maqthu’ (مقطوع) - Sumbernya : Tabi’ at-Tabi’in dan seterusnya 

B. Perspektif Bentuk dari Sumber (صدوره عن المصدر) 

01. Qawliy (قولي) - Bentuk : Perkataan 
02. Fi’liy (فعلي) - Bentuk : Perbuatan 
03. Taqririy (تقريري) - Bentuk : Perakuan 
04. Khilqi (خِلْقِي) - Bentuk : Sifat Fizikal 
05. Khuluqi (خُلُقِي) - Bentuk : Sifat Akhlaq 

C. Perspektif Kekuatan dan Kelemahan

01. Mutawatir (متواتر) 
02. Ahad (آحاد) 

Nota-nota seterusnya akan mengupas setiap kategori secara asas. In Sya Allah. 

WalLaahu a'lam 

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 



#040415 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.02.01 Kategori-kategori Perspektif Sumber Asal (المصدر) Bhg. 01

Susunan: BroSyarief

AL-HADITS AL-QUDSI (الحديث القدسي)

Secara bahasa, al-Quds (القدس) bermaksud suci dan bersih. Adapun secara teknikal, ia merujuk kepada kata-kata yang RasululLah sandarkan kepada Allah dengan jelas.

Contohnya, sabda baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, “Qaala Allah” (قال الله), dan yang seumpamanya atau kata sahabat, ‘An Rasulillah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam fi ma yarwiihi ‘an rabbih’ (عن رسول الله ﷺ فيما يرويه عن ربه), dan yang seumpamanya.

Dari sudut hukum, bergantung kepada penilaian sanad dan matan, ia boleh jadi sahih, hasan, lemah dan malah boleh jadi palsu.

Contohnya,

قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: قَالَ اللَّ: هُ يَسُبُّ بَنُو آدَمَ الدَّهْرَ، وَأَنَا الدَّهْرُ، بِيَدِي اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ ‏"

Abu Hurayrah radhiyallahu ‘anhu berkata, Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam berkata: "Allah ‘azza wa jalla berkata: 'Anak adam mencela masa, sedangkan aku adalah (pencipta) masa, di tanganKu malam dan siang’ “ [HR al-Bukhari]

dan,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: مَا لِعَبْدِي الْمُؤْمِنِ عِنْدِي جَزَاءٌ، إِذَا قَبَضْتُ صَفِيَّهُ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا، ثُمَّ احْتَسَبَهُ إِلاَّ الْجَنَّةُ‏

Dari Abu Hurayrah radhiyalLaah ‘anhu berkata, bahawa Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam berkata: "Allah ta’ala berkata: Tidaklah bagi hambaku yang beriman, (menerima) dariKu, ganjaran, (apabila) Aku mengambil kekasihnya (keluarga atau sahabat) dari ahli dunia, kemudian dia (sabar) mengharapkan Allah, kecuali (dia mendapatkan) syurga” [HR al-Bukhari]

Para ulama mengatakan hadits Qudsi ini maknanya dari Allah, manakala lafaznya dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

(Bersambung)

WalLaahu a'lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares
10:26:33 AM
#060415 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.02.01 Kategori-kategori Perspektif Sumber Asal (المصدر) Bhg. 01

Susunan: BroSyarief

AL-HADITS AL-QUDSI (الحديث القدسي)

Secara bahasa, al-Quds (القدس) bermaksud suci dan bersih. Adapun secara teknikal, ia merujuk kepada kata-kata yang RasululLah sandarkan kepada Allah dengan jelas.

Contohnya, sabda baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, “Qaala Allah” (قال الله), dan yang seumpamanya atau kata sahabat, ‘An Rasulillah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam fi ma yarwiihi ‘an rabbih’ (عن رسول الله ﷺ فيما يرويه عن ربه), dan yang seumpamanya.

Dari sudut hukum, bergantung kepada penilaian sanad dan matan, ia boleh jadi sahih, hasan, lemah dan malah boleh jadi palsu.

Contohnya,

قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: قَالَ اللَّ: هُ يَسُبُّ بَنُو آدَمَ الدَّهْرَ، وَأَنَا الدَّهْرُ، بِيَدِي اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ ‏"

Abu Hurayrah radhiyallahu ‘anhu berkata, Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam berkata: "Allah ‘azza wa jalla berkata: 'Anak adam mencela masa, sedangkan aku adalah (pencipta) masa, di tanganKu malam dan siang’ “ [HR al-Bukhari]

dan,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: مَا لِعَبْدِي الْمُؤْمِنِ عِنْدِي جَزَاءٌ، إِذَا قَبَضْتُ صَفِيَّهُ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا، ثُمَّ احْتَسَبَهُ إِلاَّ الْجَنَّةُ‏

Dari Abu Hurayrah radhiyalLaah ‘anhu berkata, bahawa Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam berkata: "Allah ta’ala berkata: Tidaklah bagi hambaku yang beriman, (menerima) dariKu, ganjaran, (apabila) Aku mengambil kekasihnya (keluarga atau sahabat) dari ahli dunia, kemudian dia (sabar) mengharapkan Allah, kecuali (dia mendapatkan) syurga” [HR al-Bukhari]

Para ulama mengatakan hadits Qudsi ini maknanya dari Allah, manakala lafaznya dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

(Bersambung)

WalLaahu a'lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 


#070415 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.02.02 Kategori-kategori Perspektif Sumber Asal (المصدر) Bhg. 02

Susunan: BroSyarief

PERBEZAAN ANTARA HADITS QUDSI & AL-QURAN

01. al-Quran diwahyukan melalui Jibril, sedangkan Hadits al-Qudsi diterima melalui Jibril atau Ilham atau Wahyu.
02. al-Quran adalah mu’jizat yang kekal selamanya, Hadits al-Qudsi bukan mu’jizat.
03. al-Quran mutawatir secara lafaz dan makna, dan terpelihara dari perubahan, sedangkan Hadits al-Qudsi tidak sedemikian.
04. Bacaan al-Quran dikhususkan di dalam solat, tetapi Hadits al-Qudsi tak boleh dibaca dalam solat.
05. Pahala diperoleh secara khusus dengan setiap huruf dibaca dari al-Quran, tetapi tidak ada pengkhususan pahala bagi bacaan Hadits al-Qudsi.
06. Dilarang membacakan ayat-ayat al-Quran secara makna, adapun Hadits al-Qudsi boleh disebut walaupun berubah sedikit lafaz asalkan memelihara makna.

PERBEZAAN ANTARA HADITS QUDSI & HADITS NABAWI

al-Hadits sama Qudsi atau Nabawi, asal kesemuanya ini adalah dari Allah subhanu wa ta’ala, sama ada dari wahyu yang jelas secara langsung atau sebaliknya, atau perakuan Allah terhadap keputusan Nabi sallalLahu ‘alaihi wa sallam.

Sabda Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam:

أَلاَ إِنِّي أُوتِيتُ الْكِتَابَ وَمِثْلَهُ مَعَهُ

"Sungguh aku telah diberikan al-Kitab (yakni: al-Quran) dan yang serupa dengannya (yakni: as-Sunnah) bersamanya” [HR Abu Dawud. al-Albani: Sahih]

Perbezaan yang berlaku di antara Hadits al-Qudsi dan Hadits Nabawi hanyalah pada lafaz apabila disebutkan Sabda Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, kemudiannya disebutkan lafaz 'Qaala Allah', yang bermaksud 'Allah berkata' dan seumpamanya. Sedangkan hadits Nabi, lafaznya akan berhentu pada merujuk kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

Di antara penulisan rujukan berkaitan hadits al-Qudsi:

01. al-Ahadits al-Qudsiah, karangan Imam an-Nawawi (w.676H)
02. al-Maqasid al-Hasanah fi al-Ahadits al-Ilahiah, karangan Amir al-Farisi (w.739H)
03. al-Arba’un al-Qudsiah, karangan Mulla ‘Ali al-Qari (w.1014H)
04. al-Ittihaafat al-Saniyyah bi al-Ahadits al-Qudsiyyah, karangan Abdul Rauf al-Munawi (w.1031H)

Dan banyak lagi.

WalLaahu a'lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 




#090415 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.02.04 Kategori-kategori Perspektif Bentuk dari Sumber (صدوره عن المصدر) 

Susunan: BroSyarief 

AL-HADITS AL-QAWLIY (الحديث القولي)

Hadits-hadits yang jelas menyebutkan Nabi sallallaahu ‘alaihi wa sallam berkata (قال, يقول), contohnya: 

قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ ‏”‏‏.‏

Nabi sallalLahu ‘alaihi wa sallam bersabda: "Mencaci muslim itu fasiq, dan membunuhnya kufur.” [HR al-Bukhari]


AL-HADITS AL-FI’LI (الحديث الفعلي) 

Hadits-hadits di mana sahabat menyebutkan, melihat Nabi sallallaahu ‘alaihi wa sallam melakukan perbuatan tertentu, contohnya: 

عَنْ جَابِرٍ، قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ

Dari Jabir, (beliau) mengatakan: “Adalah Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, para hari ‘Eid, akan pergi dan balik melalui jalan yang berbeza” [HR al-Bukhari]


AL-HADITS AL-TAQRIRI (الحديث التقريري) 

Hadits-hadits di mana sahabat mengatakan atau melakukan sesuatu di mana Nabi sallallaahu ‘alaihi wa sallam tidak mengatakan apa-apa padanya dan tidak menegahnya, contohnya: 

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ الثَّقَفِيِّ، أَنَّهُ سَأَلَ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ وَهُمَا غَادِيَانِ مِنْ مِنًى إِلَى عَرَفَةَ كَيْفَ كُنْتُمْ تَصْنَعُونَ فِي هَذَا الْيَوْمِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ كَانَ يُهِلُّ مِنَّا الْمُهِلُّ فَلاَ يُنْكِرُ عَلَيْهِ، وَيُكَبِّرُ مِنَّا الْمُكَبِّرُ فَلاَ يُنْكِرُ عَلَيْهِ

Dari Muhammad ibn Abu Bakr ats-Tsaqafiy, bahawa dia pernah bertanya kepada Anas ibn Malik, sewaktu mereka dalam perjalanan dari Mina ke ‘Arafah, “Bagaimana kalian melakukan (ibadah) pada hari ini (ketika) bersama dengan Rasulullah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam?”. Maka dia (Anas) berkata, “Sebahagian kami mengucapkan Talbiyah, dan baginda sallalLahu ‘alaihi wa sallam tidak mengingkarinya, dan sebahagian ada yang bertakbir, dan baginda sallalLahu ‘alaihi wa sallam tidak mengingkarinya” [HR al-Bukhari]


AL-HADITS AL-WASFIY AL-KHILQIY (الحديث الوصفي الخلقي) 

Hadits-hadits di mana sahabat menyebutkan sifat fizikal Nabi sallallaahu ‘alaihi wa sallam berkata, contohnya: 

عَنْ أَنَسٍ، كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم شَثْنَ الْقَدَمَيْنِ وَالْكَفَّيْنِ‏.

Dari Anas, (beliau) berkata, "Adalah Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam itu, besar kedua kaki dan tangannya” [HR al-Bukhari]


asSalaamu 'alaikum, nota seterus membincangkan tentang al-Marfu', al-Mawquf dan al-Maqtu'. Perbincangan panjang sedikit untuk al-Mawquf.
3:15:53 PM
#080415 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.02.03 Kategori-kategori Perspektif Sumber Asal (المصدر)

Susunan: BroSyarief

AL-MARFU’ (المرفوغ)

Secara bahasa, istilah ini berasal dari perkataan al-Raf’ (الرفع), yang bermaksud angkat.

Secara istilah, ia merujuk kepada apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, sama ada bersambung atau terputus sanadnya.

Secara mudahnya, apa sahaja hadits yang menyebutkan Nabi sebagai pembicara atau pembuat, maka ianya Marfu’.

Dari sudut hukum, bergantung kepada penilaian sanad dan matan, ia boleh menjadi sahih, hasan, lemah dan malah boleh jadi palsu.


AL-MAWQUF (الموقوف)

Secara bahasa, istilah ini berasal dari perkataan al-Waqf (الوقف), yang bermaksud berhenti.

Secara istilah, ia merujuk kepada apa sahaja yang disandarkan kepada sahabat radhiyalLaahu ‘anhu.

Secara mudahnya, apa sahaja yang menyebutkan sahabat sebagai pembicara atau pembuat, maka ianya Mawquf.


LAFAZ MAWQUF DENGAN HUKUM MARFU’

Akan ada beberapa bentuk periwayatan yang Mawquf, tetapi dinilai statusnya sebagai Marfu’:

01. Sahabat menceritakan sesuatu yang tidak ada ruang untuk mereka berijtihad padanya, seperti persoalan akhirat, hal-hal ghaib, dosa tertentu, dan seumpamanya.

02. Sahabat melakukan sesuatu yang mustahil mereka melakukannya hasil ijtihad sendiri, seperti Ali solat Kusuf dan ruku’ lebih dari dua kali dalam setiap rakaat.

03. Sahabat menyebutkan perkataan seperti Kunna (كنا) dan seumpamanya, seperti: ‘Kami dahulunya melakukan ini..’, ‘Kami tidak melihat apa-apa masalah dengan ini’, mengisyaratkan perbuatan itu telah dibuat di zaman Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

04. Sahabat menyebutkan perkataan seperti “أُمِرْنَا بِكَذَ” (Kami diperintahkan dengan ini..) atau “نُهِينَا بِكَذَ” (Kami dilarang dengan ini..), di mana suruhan dan larangan ini tidak mungkin hadir kecuali dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

05. Sahabat menceritakan tentang Asbab an-Nuzul tentang sesuatu ayat.

06. Periwayat menyebutkan, selepas nama sahabat, beberapa jenis istilah seperti Yarfa’uh (يرفعه), Yunmih (ينميه), Yablughu bih (يبلغ به), dan seumpamanya, yang menggambarkan maksud bahawa ianya dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

Dari sudut hukum, bergantung kepada penilaian sanad dan matan, ia boleh menjadi sahih, hasan, lemah dan malah boleh jadi palsu.

Di antara penulisan berkaitan al-Mawquf:

01. al-Wuquf ‘ala al-Mawquf, karangan Abu Hafs al-Musili (w.623H)
02. Ijmal al-Isobah fi Aqwal al-Sahabah, karangan al-‘Allaie (w.761H)
03. al-Wuquf ‘ala ma fi Sahih Muslim min al-Mawquf, karangan Ibn Hajar (w.852H)

Dan banyak lagi.


AL-MAQTHU’ (المقطوع)

Secara bahasa, istilah ini berasal dari perkataan al-Qath' (القطع), yang bermaksud putus atau terpotong.

Secara istilah, ia merujuk kepada apa sahaja yang disandarkan kepada tabi’i atau tabi’ tabi’in atau selainnya.

Secara mudahnya, apa sahaja yang menyebutkan selain Allah, Nabi dan sahabat sebagai pembicara atau pembuat, maka ianya Maqthu'.

Dari sudut hukum, bergantung kepada penilaian sanad dan matan, ia boleh menjadi sahih, hasan, lemah dan malah boleh jadi palsu.

WalLaahu a'lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 

AL-HADITS AL-WASFIY AL-KHULUQIY (الحديث الوصفي الخلقي) 


Hadits-hadits di mana sahabat menyebutkan sifat akhlaq Nabi sallallaahu ‘alaihi wa sallam berkata, contohnya: 

عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ قَالَتْ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم مُسْتَجْمِعًا قَطُّ ضَاحِكًا حَتَّى أَرَى مِنْهُ لَهَوَاتِهِ، إِنَّمَا كَانَ يَتَبَسَّمُ‏.‏

Dari ‘Aisyah radhiyalLaahu ‘anha, (beliau) berkata, “Aku tidak pernah melihat Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam ketawa sehingga kelihatan lelangit mulutnya, tapi baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam suka tersenyum” [HR al-Bukhari]

WalLaahu a'lam 

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 

00415 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.04.01 Kategori-kategori Perspektif Jumlah Periwayat (كثرة الرواة وقلتهم) 

Susunan: BroSyarief 

HADITS AL-MUTAWATIR (المتواتر) Bhg. 01 

Secara bahasa at-Tawatur (التواتر) bermaksud berurutan atau beriringan. 

Secara teknikal, ia merujuk kepada jumlah yang ramai bagi setiap peringkat periwayat (ie. Tobaqat), yang mana mustahil untuk mereka bersepakat berbohong dan mereka-cipta hadits tersebut. 

Para ulama meletakkan syarat-syarat untuk sesuatu khabar itu diterima sebagai mutawatir: 

01. Jumlahnya ramai. 

Namun ulama berselisih pendapat akan berapakah jumlah had minimum, untuk dianggap sesuatu hadits itu sebagai mutawatir. 

Ada yang meletakkan minimum 4 orang, 10, 12, 40 sehingga ke 300 lebih. 

Pendapat yang terpilih di kalangan jumhur ahli hadits bahawa tiada had minimum bagi tawatur, asalkan timbul keyakinan yang tak dapat ingkari pada jumlah tersebut. 

Dan pastinya penilaian ini adalah penilaian para ulama hadits, bukan keyakinan di peringkat awam. 

02. Ramainya di setiap peringkat periwayat (Tobaqat). 

Bermaksud jumlah yang ramai itu, tidak hanya pada peringkat tertentu, tetapi pada keseluruhan peringkat generasi periwayat. 

Contohnya: 20 orang sahabat mendengarkan dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam satu hadits, dan di peringkat Tabi’in seramai 100 orang mendengarkan dari 20 sahabat tadi, dan seterusnya sehingga ke peringkat pengumpul dan penulis kitab-kitab hadits. 

03. Mustahil untuk mereka berpakat berbohong dan mencipta hadits. 

Hanya dengan jumlah ramai, ia tak memadai, kerana masih ada kemungkinan mereka yang mempunyai persamaan kepentingan, seperti jika terdapat salah satu tobaqat mereka sama-sama ahli negeri sekian, atau satu tobaqat mereka semuanya bermazhab sekian, dan lain-lain, di mana persamaan ini membuka ruang keraguan bahawa mereka boleh jadi bersepakat untuk berbohong mereka hadits. 

04. Sandaran hadits berdasarkan kaedah dari salah satu deria panca-indera. 

Ini bermaksud hadits yang disebutkan bukan bersifat idea semata-mata yang tak dapat diukur, ia mestilah menggunakan lafaz seperti ‘Kami mendengar’ (سمعنا) atau ‘Kami telah melihat..’ (رأينا) merujuk kepada salah satu dari deria panca-indera, sama pendengaran, penglihatan, dan seterusnya. 

(Bersambung) 

WalLaahu a'lam 

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu'asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi. 

No comments: