Isu Kartika: Temubual Akhbar Sinar Dengan Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Soalan : Apakah pandangan Dr tentang isu Kartika, mengapakah masyarakat Islam sendiri berbeza pendapat tentang isu ini, tidakkah jelas meminum arak merupakan dosa besar dalam Islam?
Jawapan: Pertamanya kita hendaklah jelas bahawa tiada siapa pun di kalangan mereka yang benar-benar muslim boleh mempertikaikan tentang ‘haramnya’ meminum arak bagi seorang muslim. Ini perkara yang disepakati. Kita tidak boleh berbeza dalam hal ini. Namun apabila tiba kepada persoalan menghukum ‘peminum arak’, di sini mungkin akan ada sedikit pandangan dan perbincangan yang mungkin akan timbul perbezaan pendapat. Perbezaan itu mempunyai banyak faktor, antaranya faktor hukum itu sendiri di mana di kalangan sarjana Islam itu berbeza pendapat tentang statusnya. Kedua faktor persekitaran atau realiti semasa yang kita hadapi sekarang.
Soalan: Apakah yang Dr maksudkan dengan sarjana Islam berbeza pendapat tentang perlaksanaan hukum ke atas peminum arak?
Jawapan: Mereka berbeza pendapat, apakah hukuman sebat yang pernah disebutkan dalam hadis-hadis Nabi s.a.w dan juga sejarah pelaksanaannya di zaman al-Khulafa al-Rasyidin dimasukkan dalam kategori hudud atau sekadar ta’zir (discretionary punishment). Walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan. Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali.
Namun pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan ‘Abd Rahman bin al-‘Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali. Ini seperti yang disebut dalam riwayat al-Imam Muslim. Tindakan Khalifah ‘Umar ini menyebabkan sarjana berbincang apakah hukuman untuk peminum arak ini hudud atau takzir (discretionary punishment).
Ini kerana jika ia hudud, sepatutnya, tidak ditambah. Apatahlagi, Nabi s.a.w semasa melaksanakan hukuman ini tidak pula menjelaskan apakah ia hukuman yang ditetapkan oleh Allah (hudud) atau ia hanya ketetapan pemerintah berdasarkan kepada keperluan maka itu dinamakan takzir. Lebih daripada itu, dalam hadis menunjukkan pesalah minum arak ada yang dipukul dengan tangan, kain, dan selipar sahaja. Tiada ketegasan yang jelas dalam kaedah pukulan.
Jika ia dianggap bukan hudud, sebaliknya sekadar takzir, maka kadar hukuman takzir boleh diputuskan oleh pemerintah. Jika diputuskan enam rotan pun, itu ijtihad atau pandangan pemerintah atau hakim yang boleh dinilai di segi prinsip umum takzir.
Maka pandangan beberapa tokoh agama bahawa Kartika patut disebatkan empat puluh atau lapan puluh rotan, jika tidak hukuman tersebut tiada maknanya, pada saya itu pandangan mereka agak terhad tentang persoalan ini.
Soalan: Adakah hukuman sebat kepada peminum arak itu memberikan kesan pengajaran yang baik kepada masyarakat?
Jawapan: Ini bergantung kepada bagaimana ia dilaksanakan. Jika menurut kaedah yang betul, maka kesannya pasti positif. Jika tidak, sebaliknya akan berlaku. Ramai orang apabila sebut hukuman sebat bagi kesalahan arak atau zina dalam Islam, ia bayangkan hukuman sebat yang biasa dilaksanakan dalam penjara-penjara kita.
Sama sekali tidak benar! Sebat atau rotan bagi hukuman ini bagaikan hukuman rotan di zaman persekolahan dahulu sahaja. Atau mungkin boleh saya katakan bagaikan bapa yang merotan anaknya dengan penuh kasih-sayang, sekadar untuk mengajar bukan untuk mencederakan. Jangan terpengaruh dengan filem ‘Semerah Padi’. Itu tidak betul.
Dalam hadis riwayat al-Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, beliau berkata: “Dibawa kepada Nabi s.a.w seorang yang mabuk (minum arak), maka baginda memerintahkan agar dipukul, maka dalam kalangan kami ada yang memukulnya dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar dan ada pula yang memukulnya dengan kainnya. Apabila selesai, seseorang berkata: “Allah telah menghinanya”. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu menjadi pembantu syaitan (merosakkan) saudara kamu”.
Maksudnya, mencercanya menyebabkan syaitan mudah untuk merosakkannya lagi. Dalam hadis ini menunjukkan hukuman itu berjalan hanya sekadar dengan kain atau tangan atau selipar, tujuannya bukan untuk menyeksa, tapi mengingatkan.
Janganlah pula berlebihan, hukumannya hanya pukulan tersebut maka tidak perlu diikuti dengan cercaan. Maka sesiapa yang merasakan dirinya pejuang Islam, janganlah menokok tambah dengan makian kerana itu tidak serasi dengan tabiat perlaksanaan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.
Soalan: Jadi, apakah Dr setuju atau tidak hukuman Islam seperti hudud dilaksanakan dalam negara kita?
Jawapan: Hudud adalah hukum yang ada dalam dalam al-Quran dan al-Sunnah, tiada siapa berhak mempertikaikannya. Namun sebelum dilaksanakan, ada banyak persoalan yang perlu ditangani. Bukan soal setuju atau tidak, soalannya sejauh manakah jika hukuman ini dilaksanakan ia mencapai maksud dan tujuan hukuman tersebut.
Tujuan hukuman untuk melaksanakan keadilan dan memberikan pengajaran sesuai dengan ajaran Islam. Hukuman mestilah memberikan natijah yang baik kepada Islam dan mampu menaikkan imej Islam serta memberikan nilai yang positif kepada masyarakat termasuk diri yang dihukum. Jika ia memberikan kesan yang negatif, maka maksud hukuman itu akan tersasar.
Saya pernah sebutkan dalam satu artikel saya bahawa ramai yang bercakap tentang hudud, namun ramai juga, sama ada yang bersetuju atau membantah tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dalam banyak perkara mengenainya. Ramai yang blind imitation dalam memperkatakan hukuman jenayah dalam Islam ini. Sama ada hanya terikut-ikut dengan media, atau terikut-ikut teks kitab-kitab lama. Ramai yang tidak menyemak tentang maksud, kaedah, keadaan, suasana dan keluasannya.
Seseorang muslim yang faham tidak mungkin menentang hudud, tetapi mungkin bertanya adakah suasana yang menyebabkan perlaksanaan hudud yang adil dan berkesan wujud pada sesuatu tempat dan masa untuk menjadikan ia mencapai tujuannya? Apabila syarat dan suasana itu wujud, maka hudud dilaksanakan. Ketika itu akan dapat dilihat keadilan, keindahan dan kesan hukuman tersebut yang bertujuan untuk kebaikan manusia.
Dalam hadis sahih, Nabi s.a.w bersabda: “Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi). Al-Imam Tirmizi ketika meriwayat hadis ini menyebut: “Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.
Saya melihat, jika kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapohan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati. Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam.
Maka perjuangan mengujudkan suasana yang conducive itu mendahului usaha perlaksanaan hudud. Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud tertonjollah kesan dan keindahannya.
Di samping, saya selalu sebut, hukuman yang hendak disandarkan kepada Islam itu, bukan sahaja mesti adil, tetapi juga kelihatan adil.
Soalan: Apa maksud Dr mesti kelihatan adil? Apakah dalam kes Kartika kelihatan adil atau tidak?
Jawapan: Semasa isu Kartika ini tercetus, saya masih berada di UK. Banyak email dari Malaysia saya terima menyatakan rasa tidak puas hati kepada pihak berkuasa agama. Bukan tidak puas hati dengan hukuman itu, tetapi dengan keadaan yang berlaku.
Ada yang menyatakan kepada saya, mengapakah peminum arak sahaja dihukum, sedangkan taukeh-taukeh arak yang beragama Islam dibiarkan? Sedangkan mereka ini ada memakai gelaran yang hebat-hebat dan ‘disembah hormat’ oleh rakyat.
Ada pula berkata: “Mengapa kes model itu begitu cepat diproses, sedangkan dia yang menderita kes rumah tangga saya sudah bertahun lamanya, mahkamah syariah belum putus apa-apa?”. Berbagai lagi sungutan yang lain.
Ya, sebahagian rungutan itu benar. Bagaimana mungkin kes-kes penginiayaan terhadap wanita; kes talak, kezaliman rumahtangga dan berbagai lagi yang bertangguh-tangguh di mahkamah kita lama gagal diproses, tiba-tiba untuk menghukum seorang wanita kelihatannya begitu pantas. Sedang kita tahu di sana ada berbagai pihak luar cuba mengambil kesempatan seperti CNN untuk menyatakan adanya diskriminasi terhadap wanita dalam masyarakat Islam. Ini member ruang kepada mereka.
Ya, kita tahu, itu semua bukan justifikasi untuk peminum arak dibiarkan, tetapi hukuman apabila tidak kelihatan adil atau serakam, manusia akan membuat berbagai alasan dan akhirnya tujuan dan keindahan hukum itu hilang.
Para ulama dan pejuang Islam mempunyai tugasan yang berat untuk memboleh Islam dalam bentuk dakwah dan pendidikan itu menjelma dalam bentuk hukuman dan perlaksanaan yang adil dan saksama.
Maka tidak munasabah dipotong tangan pencuri dalam masyarakat yang lapar dan terdesak. Tidak munasabah dihukum hudud orang berzina dalam masyarakat yang unsur zina bertebaran, perkahwinan disusah-susahkan, kes perceraian ditangguh-tangguhkan dan berbagai keadaan yang mendorong kepada zina. Munasabahkah dilaksanakan hukuman murtad dalam dunia yang penuh keliru dan kegagalan golongan agama dan pemerintah merongkaikan kekeliruan secara berkesan. Apatahlagi hukuman murtad itu sendiri mempunyai berbagai penafsiran.
Saya setuju, bahkan menyokong segala hasrat untuk menguatkuasakan undang-undang syariah, tetapi hendaklah secara menyeluruh dan memberikan impak yang positif kepada Islam. Suasana semasa dan mentaliti masyarakat hari ini hendaklah diambil kira. Isu Kartika baik sebagai satu usaha. Apatahlagi Kartika sendiri bersetuju dan rela. Namun, suasana semasa kurang berpihak kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Bukan kesalahan pihak mahkamah, tetapi nilai agama dan pemikiran masyarakat yang bermasalah.
Soalan: Apakah patut cadangan sesetengah pihak agar Kartika memohon diringankan hukuman?
Jawapan: Ya, jika ada baginya keuzuran dalam hal tersebut. Hudud sekalipun, jika ada ruang, seseorang boleh memohon keuzuran untuk dirinya, dia oleh pohon. Inikan pulak takzir. Bukan semestinya seseorang yang berdosa itu dihukum baru dia diampunkan Allah. Tidak demikian, yang penting seseorang itu insaf. Kartika telah menunjukkan keinsafan ini.
Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Maiz bin Malik yang datang memaklumkan kepada Nabi s.a.w bahawa dia berzina, Nabi s.a.w berulang menolak pengakuan itu dan cuba memberikan berbagai alasan untuknya agar kesnya tidak disabitkan. Dalam ertikata lain, taubat diterima Allah sekalipun tidak melalui proses hukuman.
Pelaksanaan hukum tanggungjawab penguasa, namun bukan semestinya seseorang yang berdosa wajib mengistiharkan kesalahannya di hadapan penguasa agar dihukum. Pun begitu jika seseorang memilih hukuman agar menjadi kifarah dosa untuknya, itu juga haknya. Sebab itu Nabi s.a.w meneruskan hukuman bagi mereka yang terus meminta agar dia dihukum. Itu hak mereka. Kes Kartika, kesalahan telah disabitkan. Jika dia merasakan tiada ruang untuknya diberi pengecualian dan sebagai pengajaran untuk orang lain, itu hak dia. Mungkin juga baik bagi mengingatkan orang lain.
Cumanya, seperti yang saya sebutkan dulu, asalnya Islam tidak suka mencari keburukan peribadi orang untuk dihukum. Bukan itu tujuan mahkamah dalam Islam. Bukan untuk mengintip keburukan peribadi orang, kecuali jika dia sendiri melakukan maksiat itu di khalayak ramai, maka ketika itu dihukum.
Nabi s.a.w menyebut: “Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam satu riwayat daripada Zaid bin Wahb, katanya: Dibawa seorang lelaki kepada ‘Abd Allah bin Mas’ud, lalu diberitahu kepadanya: Lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abd Allah bin Mas’ud: “Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”.( Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih).
Kesalahan atau dosa yang bersifat peribadi dalam Islam ini hendaklah ditutup sedaya mungkin, melainkan jika individu itu sendiri yang melakukannya secara terbuka.
Soalan: Apakah nasihat Dr dalam isu ini?
Jawapan: Saya menasihati diri saya dan orang ramai, yang pro atau kontra dengan isu ini, fahamilah maksud dan hikmah prinsip hukum dalam Islam ini dengan cara yang betul. Menyokong atau menentang secara membuta tuli hanya merugikan dunia ilmu dan akan mencemarkan hakikat bagi sesuatu perkara.
No comments:
Post a Comment